KUALA LUMPUR: Cabaran wakil tunggal perseorangan lelaki negara, Leong Jun Hao berakhir selepas kemaraannya disekat Jonatan Christie dari Indonesia pada pusingan kedua Kejohanan Badminton Terbuka Malaysia di Axiata Arena, Bukit Jalil, hari ini.
Pemain yang menghuni ranking ke-28 dunia itu tewas straight set kepada bintang No. 4 dunia 21-18, 21-11 dalam masa 54 minit.
Kekalahan menimpa Jun Hao, menyaksikan rekod pertemuannya menentang Jonatan kini terikat kepada 3-3.
Jun Hao berkata, dia telah melakukan yang terbaik, hari ini, tetapi usaha tersebut tidak mencukupi untuknya mencatat kemenangan ke atas Jonatan.
“Sudah tentu saya kecewa, saya ada peluang sebenarnya untuk menang, tetapi, saya tidak cukup sabar ketika melakukan serangan atau sewaktu menyempurnakan pukulan yang kurang agresif,” katanya kepada pemberita selepas perlawanan berakhir.
Anak jati Kuala Lumpur itu memberitahu, dia sedar sebelum ini prestasinya jauh lebih baik sehingga mampu melakukan kejutan besar ke atas bintang handalan dunia seperti Jonatan.
Bagaimanapun, katanya, untuk mengulangi prestasi baik itu, dia perlu mencuba lagi sehingga menemui persembahan yang dimahukannya.
“Saya saya akan cubalah. Setiap kali saya jumpa (pemain handalan) saya akan buat yang terbaik dan cuba untuk menangkan setiap perlawanan itu,” ujarnya.
Ketika ditanya mengenai sasarannya pada tahun ini, Jun Hao berkata, kalau boleh dia mahu sekurang-kurangnya melangkah sehingga ke suku atau separuh akhir.
Jun Hao yang sebelum ini mengakui tidak serasi dengan gaya permainan Eropah, telah kembali kepada program latihan lamanya dengan Datuk Tey Seu Bock kini menyertai pasukan kejurulatihan perseorangan lelaki.
Selepas ini, pemain berusia 26 tahun itu akan mengalihkan fokus ke Terbuka India yang bermula minggu depan. – UTUSAN











