Jun Hao buru kebangkitan separuh kedua musim 

Jun Hao buru kebangkitan separuh kedua musim 

Leong Jun Hao tidak mahu meletakkan sasaran khusus menjelang Terbuka Jepun dan Terbuka China bulan depan sebaliknya memilih pendekatan lebih realistik. - UTUSAN/SHIDDIEQIIN ZON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Leong Jun Hao mengakui prestasinya sepanjang separuh pertama musim 2026 belum mencapai tahap yang diharapkan, namun enggan menjadikan perkara itu sebagai alasan untuk mengalah.

Pemain perseorangan lelaki No.1 negara itu kini mengalihkan tumpuan sepenuhnya kepada Terbuka Jepun dan Terbuka China pada Julai dalam usaha menghidupkan semula musimnya yang setakat ini belum memberikan keputusan memberangsangkan.

“Secara keseluruhan mungkin enam bulan pertama tahun ini kurang bagus bagi saya.

“Tetapi masih ada baki separuh musim lagi, jadi saya akan terus mencuba dan memperbaiki diri untuk menghadapi kejohanan-kejohanan akan datang,” katanya.

Sepanjang musim ini, pencapaian terbaik Jun Hao hadir menerusi kemaraan ke pusingan 16 terbaik di All England, Terbuka Indonesia dan Malaysia, manakala beberapa kejohanan lain berakhir seawal pusingan pertama termasuk Malaysia Masters, Terbuka Singapura, Terbuka India, Terbuka Jerman dan Kejohanan Badminton Asia (BAC).

Pemain berusia 27 tahun itu bagaimanapun tidak mahu meletakkan sasaran khusus menjelang dua kejohanan penting bulan depan sebaliknya memilih pendekatan lebih realistik.

“Saya tidak menetapkan sasaran tertentu dan mahu mengambil satu demi satu perlawanan.

“Bagi saya sekarang, perkara paling penting adalah terus konsisten dan berharap dapat meraih lebih banyak kemenangan,” ujarnya.

Dalam masa sama, Jun Hao turut menegaskan, dia tidak terlalu mempedulikan kritikan yang diterima sepanjang musim ini, sebaliknya kekal fokus terhadap latihan dan usaha untuk kembali mempamerkan aksi terbaik.

Selepas menutup kempen Terbuka Indonesia di pusingan kedua awal bulan ini, Jun Hao kini mempunyai tempoh hampir sebulan untuk membuat persiapan sebelum memulakan cabaran di Jepun bermula 14 hingga 19 Julai ini dalam misi mencari titik kebangkitan pada separuh kedua musim 2026. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN