Jun Hao kunci mulut isu disiplin

Jun Hao kunci mulut isu disiplin

Leong Jun Hao menguji gelanggang di Unifi Arena Bukit Jalil, semalam. - UTUSAN/MUHAMAD IQBAL ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pemain perseorangan lelaki negara, Leong Jun Hao memilih mengunci mulut mengenai kontroversi disiplin yang melandanya ketika ini demi memberi tumpuan penuh menghadapi Kejohanan Badminton Malaysia Masters 2026 di Unifi Arena yang bermula hari ini.

Jun Hao bagaimanapun mengakui dia pernah terlepas sesi latihan sebelum ini, namun enggan mengulas lanjut kerana menganggap perkara berkenaan membabitkan urusan peribadi.

“Sementara ini saya tak ada komen sangat pasal benda itu. Saya hanya fokus kepada kejohanan dan buat yang terbaik.

“Waktu itu memang saya ada terlepas latihan sebab ada sebab tertentu. Masalah peribadi,” katanya selepas sesi uji gelanggang di Unifi Arena, semalam.

Kelmarin, Pengerusi Jawatankuasa Prestasi Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Datuk Seri Lee Chong Wei mendedahkan Jun Hao sudah diberikan amaran terakhir supaya segera memperbaiki disiplin dan kembali fokus terhadap prestasinya.

Pemain ranking ke-25 dunia itu bagaimanapun menegaskan isu berkenaan tidak menjejaskan fokusnya menjelang aksi pembukaan kejohanan bertaraf Super 500 berkenaan.

Jun Hao berkata, dia kini hanya mahu memandang ke depan selepas aksi mengecewakan pada Piala Thomas dan berusaha memperbaiki kelemahan dalam permainannya di dalam gelanggang.

“Saya rasa tetap fokus saja dan hanya mahu pandang ke depan kerana sasaran saya seperti biasa adalah ambil satu perlawanan demi satu perlawanan.

“Selepas Piala Thomas saya cuba perbaiki apa yang kurang terutama dari segi permainan dalam gelanggang dan sekarang fokus saya hanya dekat tournament ini,” katanya lagi.

Untuk rekod, pada musim ini Jun Hao masih gagal menembusi peringkat suku akhir dalam semua kejohananan antarabangs yang disertai ketika ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN