SEREMBAN: Datuk Seri Mohamad Hasan enggan mengulas mengenai ketidaktentuan politik dan gesaan supaya Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) segera diadakan bagi menyelesaikan kemelut tersebut.
“Saya tak mahu beri apa-apa komen,” kata Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini semalam.
Semalam, Mufti Perlis, Datuk Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin menyarankan supaya PRU-15 diadakan segera bagi menyelesaikan kemelut serta ‘kenakalan’ politik ketika ini.
Bekas Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Seri Wan Ahmad Wan Omar pula berpandangan, jika PRU-15 terpaksa diadakan, SPR boleh mempertimbangkan beberapa perkara sebagai pengawalan Covid-19.
Ia termasuklah memanjangkan tempoh masa pengundian ke beberapa hari.
Baru-baru ini, Mohamad yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau menyatakan PRU-15 tidak sesuai diadakan ketika bilangan pesakit Covid-19 terus meningkat.
“Tak boleh, tak boleh adakan pilihan raya sekarang, itu akan memperjudikan kesihatan dan keselamatan rakyat. Apa sudah jadi kepada Sabah?
“Jangan disebabkan dengan sikap tamak, berebut kuasa, benci dan marah serta terlalu mahu berkuasa kita mendedahkan pula rakyat kepada dengan isu keselamatan dan kesihatan,” katanya. – UTUSAN










