Muka bumi ekstrem, kabus tebal, curam cabaran SAR Jaslinda

Muka bumi ekstrem, kabus tebal, curam cabaran SAR Jaslinda

SAYANI SAIDON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TAPAH: Bentuk muka bumi yang ekstrem, cuaca tidak menentu dan kesukaran logistik menjadi cabaran terbesar kepada pasukan penyelamat dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) pendaki wanita, Jaslinda Saludin, 49, yang hilang di kawasan Gunung Batu Putih sejak 24 Mei lalu.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Datuk Sayani Saidon berkata, operasi pencarian dijalankan dalam keadaan mencabar berikutan kawasan pencarian berada pada ketinggian melebihi 2,000 meter dari aras kaki gunung dengan laluan curam, berbatu dan dipenuhi lurah licin.

Menurutnya, anggota penyelamat perlu mendaki secara menegak selain turun naik bukit dan lembah sepanjang operasi, sekali gus menyukarkan penca­rian terutama ketika cuaca buruk dan kabus tebal.

“Keadaan di puncak gunung sangat sejuk terutama pada waktu malam dan menjadi lebih mencabar ketika hujan.

“Selain faktor cuaca, anggota juga berdepan laluan yang berbahaya kerana perlu melalui cerun curam, batu-batu besar dan lurah yang licin.

“Pencarian tidak boleh diukur berdasarkan radius semata-mata kerana keadaan muka bumi yang tidak sekata menyebabkan pergerakan anggota menjadi perlahan dan memerlukan tenaga yang tinggi,” katanya kepada Utusan Malaysia semalam.

Beliau berkata, operasi turut berdepan cabaran dari segi pe­nempatan anggota yang dihantar ke kawasan pencarian menggunakan helikopter sebelum berkhemah selama dua hari di lokasi operasi.

Katanya, setiap anggota ha­nya membawa bekalan makanan dan keperluan mencukupi untuk tempoh 48 jam, selaras dengan kemampuan fizikal mereka untuk menjalankan pencarian di kawasan ekstrem.

“Kadang-kala helikopter ti­dak dapat menghampiri lokasi bagi mengambil atau menurunkan anggota kerana kabus terlalu tebal. Jika keadaan itu berlaku, anggota terpaksa bermalam lebih lama di kawasan pencarian.

“Apabila bekalan makanan habis dan cuaca masih tidak mengizinkan penerbangan, me­reka terpaksa bertahan dalam keadaan serba kekurangan sehingga bantuan dapat dihantar,” katanya.

Menurut Sayani, faktor muka bumi turut menyebabkan jarak perjalanan yang kelihatan dekat mengambil masa yang lama untuk dilalui.

“Jarak antara Kem Batu Core dan puncak Gunung Batu Putih hanya sekitar 1.5 kilometer, namun perjalanan biasa mengambil masa kira-kira empat jam kerana laluan tidak rata dan perlu melalui beberapa puncak dan lembah.

“Jika perlu membawa keluar mangsa, tempoh perjalanan boleh mencecah antara sembilan hingga 10 jam,” katanya.

Selain itu, kata Sayani, operasi SAR itu turut berdepan ancaman keselamatan daripada haiwan liar. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN