KUALA LUMPUR: Permohonan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk membatalkan saman pemula bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri P. Waytha Moorthy berhubung pelantikannya sebagai Perdana Menteri dan Ahli Parlimen Tambun akan didengar di Mahkamah Tinggi di sini pada 25 Februari ini.
Permohonan tersebut sepatutnya didengar hari ini namun terpaksa ditangguhkan selepas peguam utama, Ranjit Singh yang mewakili Anwar tidak dapat hadir atas masalah kesihatan.
Perkara itu dimaklumkan oleh peguam Daniel Albert yang turut mewakili Anwar pada pengurusan kes itu di hadapan Hakim Alice Loke Yee Ching. Daniel turut dibantu oleh peguam, Nicholas Yap.
Turut hadir pada prosiding hari ini ialah peguam S.Karthigesan mewakili Waytha Moorthy dan Peguam Persekutuan Mohammad Sallehuddin Md Ali dari Jabatan Peguam Negara (AGC) selaku amicus curiae (rakan kepada mahkamah).
Pada 10 Oktober 2025, Anwar memfailkan permohonan untuk membatalkan saman pemula, atas alasan saman itu melanggar pelbagai prosedur dan keperluan perlembagaan serta berkanun lain yang mandatori, yang ditetapkan untuk mencabar atau mempersoalkan keputusan pilihan raya.
Menurut Perdana Menteri, saman berkenaan tidak berasas, tidak mendedahkan kausa tindakan yang munasabah serta penyalahgunaan proses mahkamah.
Pada 12 Ogos 2025, Waytha Moorthy selaku plaintif memfailkan saman pemula bagi mendapat perisytiharan bahawa pelantikan Anwar sebagai Perdana Menteri pada 24 Nov 2022, adalah tidak berperlembagaan, terbatal dan tidak sah.
Pengerusi Hindraf itu turut memohon perisytiharan bahawa pemilihan Anwar sebagai Ahli Parlimen Tambun dalam Pilihan Raya Umum ke-15 juga tidak berperlembagaan, terbatal dan tidak sah.
Pada 14 Ogos tahun sama, AGC dalam kenyataan media memaklumkan tidak timbul sebarang isu kehilangan kelayakan Anwar sebagai Ahli Dewan Rakyat dan Perdana Menteri, hal itu berikutan Perintah Pengampunan oleh Yang di-Pertuan Agong ke-15 menyatakan bahawa Anwar telah diberikan pengampunan sepenuhnya dan dianggap sebagai seorang yang tidak pernah melakukan apa-apa kesalahan.
AGC berkata sebarang cabaran terhadap pemilihan seseorang Ahli Parlimen seharusnya melalui petisyen pilihan raya sebagaimana diperuntukkan di bawah Perkara 118 Perlembagaan Persekutuan dan hendaklah difailkan dalam tempoh sebagaimana yang ditetapkan di bawah Seksyen 38 Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954. – UTUSAN










