Kerajaan PN Perlis tidak terjejas – MB

Kerajaan PN Perlis tidak terjejas – MB

ABU BAKAR HAMZAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Keputusan Pas menamatkan hubungan kerjasama politik dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mencetus persoalan mengenai status kerajaan negeri dikuasai Perikatan Nasional (PN) terutama Perlis.

Komposisi dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis ketika ini menyaksikan enam wakil rakyat dari Pas, lima Bersatu dan satu Pakatan Harapan (PH), manakala tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pas iaitu Guar Sanji, Bintong dan Chuping dikenakan tindakan pengguguran keahlian dengan kes kekosongan kerusi tersebut masih di peringkat mahkamah.

Menteri Besar, Abu Bakar Hamzah bagaimanapun mene­gaskan, pentadbiran kerajaan PN Perlis ketika ini tidak terjejas di sebalik Pas menamatkan kerjasama politik dengan Bersatu.

Beliau akan meneruskan tugas seperti biasa sebagai mana titah Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail yang mahu pentadbiran kerajaan negeri kekal sehingga habis penggal.

Katanya, Bersatu dan Pas bertanding atas tiket PN dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) bukan atas nama kedua parti berkenaan.

“Kita tidak boleh buat keputusan apa lagi, tunggu dan lihat dahulu perkembangan seterusnya.

“Keputusan Pas memutuskan hubungan dengan Bersatu, tidak menjejaskan kerajaan negeri PN dan saya akan bertugas seperti biasa.

“Kita akan ikut mandat dan titah tuanku Raja Perlis untuk tadbir sehingga habis penggal. Urusan parti tidak ada kena mengena dengan pentadbiran kerajaan negeri yang sebelum ini menang atas nama atau tiket PN,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.

Masa depan hubungan Pas dan Bersatu akhirnya terjawab apabila parti itu mengumumkan keputusan untuk mengakhirkan hubungan kerjasama politik dengan Bersatu.

Presidennya, Tan Sri Abdul Hadi Awang dilaporkan berkata, keputusan memutuskan kerjasama politik dengan Bersatu dibuat dalam Mesyuarat Khas Jawatankuasa Kerja Pas Pusat dengan parti itu juga mahu meneroka kerjasama politik baharu.

Dalam PRU15, PN membabitkan Pas dan Bersatu menguasai 14 daripada 15 kerusi DUN Perlis sekali gus membentuk kerajaan negeri dengan kedudukan cukup selesa.

Bagaimanapun, pada Disember tahun lalu, krisis politik di Perlis meletus sehingga menyaksikan Mohd. Shukri Ramli melepaskan jawatan sebagai Menteri Besar dan Abu Bakar yang juga ADUN Kuala Perlis mendapat perkenan Raja Perlis mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar baharu.

Dalam perasmian sidang DUN Perlis baru-baru ini, Tuanku Syed Sirajuddin telah mengingatkan supaya tidak berlaku kacau-ganggu dengan memberi ruang kepada Abu Bakar memimpin kerajaan negeri sehingga akhir penggal. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN