Kerajaan ada tekad kewangan laksana pelarasan gaji penjawat awam

Kerajaan ada tekad kewangan laksana pelarasan gaji penjawat awam – Anwar

ANWAR IBRAHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi jaminan bahawa kerajaan mempunyai keupayaan kewangan bagi melaksanakan pelarasan gaji penjawat awam pada 1 Disember depan.

Perdana Menteri berkata, kerajaan kini sedang merangka satu keupayaan kewangan bagi memberi ganjaran yang adil kepada semua penjawat awam.

Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, ada pihak berpendapat tindakan (pelarasan gaji) ini sebagai satu tindakan ekonomi yang tidak rasional namun, semua perkara itu sudah diambil kira.

“Kita tidak menghalang kadang-kadang orang yang cakap dari mana kita (kerajaan) nak cari wang. Saya tidak berhasrat menjawab itu semua.

“Kita buat itu dan apabila kita umum, itu selepas kerja dasar dilakukan. Kita tahu dari mana kewangannya dan kita tahu hasilnya berapa serta dari mana sumber kewangannya,” katanya ketika berucap pada Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Kewangan di sini, hari ini.

Katanya, beliau juga percaya beberapa rencana pelaburan baharu diraih negara ketika ini mampu membantu negara merencanakan usaha pelarasan gaji itu.

Anwar berkata, jika ada usaha sebegini (pelaburan), beliau yakin pendapatan negara akan terus bertambah.

“Kita dapat lihat umpamanya, seperti mana Microsoft, itu (pelaburan) akan dimulakan tahun ini. Malah, ACWA Power (syarikat gergasi tenaga boleh baharu berpangkalan di Arab Saudi) juga akan melawat Malaysia dalam dua minggu akan datang.

“Ini (pelaburan) bukan rencana tiga atau empat tahun. Jadi kalau ada usaha sebegini, kita yakin pendapatan negara akan bertambah dan mutu khidmat penjawat awam akan lebih baik,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, di sebalik kejayaan pelaburan itu, usaha kerajaan untuk mengurangkan kebergantungan kepada hutang dan defisit tidak akan berganjak.

Pada 1 Mei lalu, Perdana Menteri mengumumkan berita gembira bahawa penjawat awam bakal menikmati kenaikan gaji lebih 13 peratus mulai 1 Disember depan.

Menurut Perdana Menteri, ia (kenaikan) merupakan kadar tertinggi dalam sejarah perkhidmatan awam negara dan perinciannya akan diumumkan pada pembentangan Belanjawan 2024 dijangka Oktober depan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×