Pas mempunyai agenda besar letak Samsuri calon PRK Kemaman - Utusan Malaysia

Pas mempunyai agenda besar letak Samsuri calon PRK Kemaman

TUAN IBRAHIM TUAN MAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEMAMAN: Pas mempunyai agenda besar di peringkat pusat dengan meletakkan Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar bertanding dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kemaman, 2 Disember ini. 

Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, meskipun parti itu mempunyai tokoh-tokoh hebat yang boleh diletakkan untuk mengekalkan kerusi Parlimen itu, namun Pas Pusat mahu Ahmad Samsuri dicalonkan berdasarkan rekod cemerlangnya mentadbir Terengganu. 

“Mesti ada agenda besar kenapa kita nak bawa dia (Ahmad Samsuri) ke Parlimen. Kalau kecil-kecil (agenda) kita tak bawa. Agenda inilah yang ditakuti Kerajaan Madani. 

“Ahmad Samsuri telah meletakkan Terengganu pada batu asas yang betul, banyak perkara diselesaikan dengan pembahagian tanah sama rata tanpa mengira politik, jadi kita lihat dia perlu dibawa ke pusat.

“Lagipun dia Naib Presiden Pas. Parti ada agenda besar, sebab itu kita letak dia sebagai calon,” katanya ketika menyampaikan ceramah di Felda Cherul, dekat sini, sebentar tadi. 

Bagaimanapun, Tuan Ibrahim berkata, pihaknya tidak akan mendedahkan agenda parti tersebut. 

“Apa yang penting adalah tanggungjawab kita hanya untuk menangkan Ahmad Samsuri,” katanya. 

Tuan Ibrahim berkata, pemilihan Ahmad Samsuri juga dibuat selepas parti itu membuat kajian lapangan daripada pengundi di Parlimen itu. 

Pada 20 November lalu, Utusan Malaysia melaporkan, pertimbangan Pas mencalonkan Ahmad Samsuri pada PRK Parlimen Kemaman bertujuan mengete­ngahkan Menteri Besar itu sebagai calon Perdana Menteri masa depan bagi PN.

Langkah itu disifatkan sebagai antara strategi Pas menampilkan calon Perdana Menteri daripada golongan profesional pada masa depan.

Penganalisis politik, Dr. Che Hamdan Che Mohd. Razali berpandangan, Samsuri yang lebih dikenali sebagai Dr. Sam mempunyai ketokohan, dengan latar belakang profesional serta pendedahan agama.

PRK Kemaman menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara Ahmad Samsuri dicabar bekas Panglima Angkatan Tentera Malaysia, Jeneral (B) Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya