BAITULMUQADDIS: Ketua parti dalam blok pembangkang Israel yang diketuai Gadi Eisenkot akan bertemu pada Selasa selepas semua pemimpin parti menyokong beliau sebagai calon perdana menteri.
Namun, penyandang jawatan Benjamin Netanyahu menggesa pembentukan kerajaan perpaduan luas di bawah kepimpinannya.
Pertemuan itu merupakan yang pertama bagi gabungan pembangkang pelbagai ideologi berkenaan sejak pilihan raya sengit minggu lalu yang menyaksikan tiada blok memperoleh majoriti.
Parti Yashar pimpinan Eisenkot berkata, pemimpin pakatan pembangkang yang dikenali sebagai blok perubahan akan bertemu bagi membincangkan penyelarasan langkah seterusnya di Herzliya pada pagi Selasa.
Blok Eisenkot memperoleh 48 kerusi manakala kem Netanyahu meraih 53 kerusi, dengan 27 daripadanya dimenangi parti Likud.
Senarai parti majoriti Arab memperoleh rekod 19 kerusi dalam parlimen yang mempunyai 120 anggota, sekali gus menjadikan mereka berpotensi menentukan pembentukan kerajaan.
Netanyahu pada Isnin menggesa pembentukan kerajaan nasional yang luas tanpa parti Arab, selain berkata, beliau sebagai ketua parti terbesar sepatutnya mengetuai gabungan kerajaan seterusnya.
“Majoriti jelas masyarakat Yahudi memilih Likud sebagai parti terbesar dan memilih saya sebagai perdana menteri untuk mengetuai kerajaan seterusnya,” katanya dalam kenyataan menerusi saluran Telegram Likud.
“Kami berusaha membentuk kerajaan luas bersama rakan kongsi kami dan mana-mana parti yang mahu menyertai serta tidak menyokong keganasan,” tambahnya.
Beliau menolak kemungkinan membentuk gabungan dengan senarai parti majoriti Arab, dengan mendakwa parti berkenaan menyokong keganasan dan menafikan kewujudan negara Yahudi.
Pemimpin parti Arab Israel sebulat suara mengecam serangan Hamas terhadap Israel pada 7 Oktober 2023, tanpa menyifatkan gerakan Islam Palestin itu sebagai kumpulan pengganas.
Walaupun pemimpin parti Raam mengiktiraf Israel sebagai negara Yahudi, pemimpin lain menolak takrifan itu.
Dalam temu bual dengan AFP, ketua dua senarai parti majoriti Arab mengemukakan matlamat bersama menjelang pilihan raya: menjatuhkan kerajaan yang menurut mereka bersifat perkauman.
Setakat ini, hanya sedikit maklumat mengenai rundingan di sebalik tabir didedahkan.
Walaupun mempunyai pandangan berbeza mengenai pelbagai isu, semua pemimpin parti dalam blok Eisenkot setakat Isnin menyatakan sokongan terhadap beliau untuk membentuk kerajaan seterusnya.
Sementara itu, senarai parti Arab memberi petunjuk bahawa mereka mungkin menyokong Eisenkot. – AFP











