Sokongan KBS perkukuh Muay Thai Selangor

Sokongan KBS perkukuh Muay Thai Selangor

KEMENTERIAN Belia dan Sukan (KBS) memberi Geran Padanan Sukan (GPS) sebanyak RM200,000 bagi mencungkil bakat baharu atlet muay thai Selangor. - IHSAN PMNS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Grand Finale Selangor Muaythai League Vol 5.0 menjadi platform penting Persatuan Muaythai Negeri Selangor (PMNS) mencungkil bakat baharu menerusi sokongan Geran Padanan Sukan (GPS) Kementerian Belia dan Sukan (KBS) bagi memperkukuh pembangunan sukan itu di negeri berkenaan.

Penganjuran lima siri liga sepanjang tahun ini membolehkan persatuan mengenal pasti atlet amatur berpotensi untuk digilap sebelum diketengahkan ke saingan lebih tinggi di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

Presiden PMNS, Muhammad Amir Luqman berkata, kejohanan itu berjaya melahirkan barisan atlet amatur terbaik Selangor, sekali gus memberi asas kepada persatuan untuk merancang pembangunan bakat bagi musim depan.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Alhamdulillah, kami berjaya melengkapkan lima siri kejohanan tahun ini dan melahirkan atlet amatur terbaik di Selangor.

“Melalui pertandingan ini, kami dapat mengenal pasti atlet yang berpotensi dan tahun depan tumpuan diberikan kepada usaha memperkasakan mereka untuk bersaing di peringkat kebangsaan serta Asia,” katanya.

Antara bakat yang mencuri perhatian pada aksi final ialah Aina Qaisara daripada Lekir Fight Team yang muncul juara kategori Super 4 Amateur remaja wanita 45 hingga 50 kilogram (kg).

AINA (kanan) bergambar bersama Presiden PMNS Amir dan Nur Aireen Qistina selepas tamat perlawanan Super 4 Amateur remaja wanita 45-50kg. – IHSAN PMNS

Aina menewaskan Nur Aireen Qistina dari Combat of Shadow Muaythai untuk muncul antara prospek baharu yang berpotensi diketengahkan ke pentas lebih tinggi.

Muhammad Amir berkata, kategori Super 8 Amateur dan Super 4 Amateur memainkan peranan penting dalam pembangunan akar umbi kerana memberi peluang kepada atlet muda menguji kemampuan, menambah pengalaman serta membina keyakinan menerusi pertandingan kompetitif.

Menurutnya, sokongan geran padanan KBS turut membantu memperkukuh penganjuran program dan pembangunan Muay Thai di Selangor.

Selain itu, persatuan memberi tumpuan kepada persiapan menghadapi Kejohanan ASEAN Muaythai sebagai medan menguji kemampuan atlet tempatan berdepan pencabar dari negara serantau.

Pendedahan menerusi liga itu dijangka membantu PMNS mengenal pasti serta membentuk barisan atlet berpotensi untuk diketengahkan ke kejohanan berkenaan.

Dalam saingan amatur, Zahirul Haq Hamdani daripada Black Turtle Muaythai menjuarai kategori dini lelaki 30 hingga 35 kilogram, manakala Raziq Afkar daripada Akademi Sang Saka Biru PDRM mengungguli kategori remaja lelaki 40 hingga 45 kilogram.

Ahmad Fitri daripada Taring Muaythai pula muncul juara kategori remaja lelaki 45 hingga 50 kilogram, sementara Wan M Nasreen daripada Amer Warrior Muaythai menguasai kategori dewasa lelaki 50 hingga 55 kilogram.

Dalam saingan profesional, Vcool Seuxda dari Seuxda Top Muaythai (Kedah), Harrish Gomo (Gomo Muaythai), Adib Warisan (Warisan Muaythai), Salar Ashouri (Panthera Gym), Nasirullah Khan (Dragon Muaythai) dan Mia Nashary (Pendowo Limo) masing-masing meraih kemenangan.

Aksi utama kategori Super 4 profesional lelaki 60 kilogram menyaksikan Jawtapee dari Panthera Gym, Thailand, menewaskan Nabi Mohebi daripada Jordan Top Team, Afghanistan, untuk membawa pulang gelaran juara.

Muhammad Amir berkata, PMNS komited meneruskan penganjuran liga itu tahun depan dengan memberi penekanan kepada pembangunan atlet serta pendedahan pertandingan bertaraf antarabangsa.

Beliau turut berharap Muay Thai mendapat perhatian lebih besar sehingga berpeluang diiktiraf sebagai sukan teras negara, mengambil kira perkembangan positif penyertaan dan sokongan ibu bapa terhadap sukan berkenaan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini