Meja cengal unik tukang kayu ‘dibayar’ dengan Mercedes

Meja cengal unik tukang kayu ‘dibayar’ dengan Mercedes

MOHD. Zainasir Taib menunjukkan meja kayu cengal yang ditukar dengan sebuah kereta Mercedes di Kampung Teluk Pasu, Kuala Terengganu, Terengganu. – UTUSAN/PUQTRA HAIRRY
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Keunikan sebuah meja diperbuat daripada tunggul kayu cengal berusia lebih 100 tahun bukan sahaja terletak pada reka bentuk kreatifnya yang mempunyai ‘kolam ikan’ malah mempunyai nilai tersendiri sehingga ditukar dengan sebuah kereta Mercedes bernilai ratusan ribu ringgit.

Hasil kreativiti tukang kayu, Mohd. Zainasir Taib, 61, dari Kampung Teluk Pasu di sini, meja berkenaan mengambil masa kira-kira dua tahun untuk disiapkan menggunakan gabungan teknik pertukangan tradisional dan kaedah moden.

Katanya, idea menghasilkan meja berkenaan tercetus selepas dia memperoleh sebatang tunggul kayu cengal yang pada awalnya tidak dirancang untuk dijadikan perabot.

Memuatkan artikel berkaitan…

Menurutnya, selepas melihat bentuk asal tunggul berkenaan yang mempunyai ruang dan lubang semula jadi, dia mendapat ilham mengolahnya menjadi sebuah meja unik dengan mengekalkan sebahagian besar ciri asal kayu tersebut.

“Pada mulanya, saya bukan mencari kayu itu untuk dibuat meja. Kebetulan apabila mendapat tunggul berkenaan, saya nampak ada sesuatu yang boleh dihasilkan daripadanya. Dari situ, saya mula berfikir bagaimana hendak memanfaatkan ruang dan bentuk asal kayu itu supaya menjadi sesuatu yang lebih kreatif dan mempunyai nilai tersendiri,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini.

Menurut Mohd. Zainasir, proses menghasilkan perabot menggunakan kayu baharu bukan mudah kerana kayu yang masih hidup mengandungi getah dan memerlukan tempoh tertentu untuk dikeringkan sebelum boleh dibentuk.

Bagaimanapun, bagi mempercepat proses pengeringan, dia menggunakan gabungan kaedah air dan haba menerusi teknik semburan air bertekanan tinggi serta penggunaan api.

Katanya, pokok cengal lazimnya perlu mencapai usia lebih 100 tahun sebelum sesuai ditebang untuk mendapatkan kayu yang matang dan berkualiti.

Katanya, proses membuat meja berkenaan memerlukan ketelitian kerana dia mahu mengekalkan keaslian bentuk tunggul selain menggunakan bahan tambahan bagi memanfaatkan ruang kosong yang terdapat pada kayu itu.

“Alhamdulillah, walaupun mengambil masa hampir dua tahun kerana dilakukan ketika waktu terluang, akhirnya meja itu dapat disiapkan seperti yang dirancang,” katanya.

Mengulas mengenai pertukaran meja berkenaan dengan kereta Mercedes, ujarnya, urusan itu berlaku secara kebetulan apabila seorang rakannya berminat memiliki hasil kerja tersebut.

Katanya, meja berkenaan kini sudah menjadi milik rakannya dan akan dibawa pulang sebaik sahaja rumah yang sedang dibina rakannya itu siap.

Menurutnya, nilai sesuatu hasil seni seperti meja berkenaan bergantung kepada minat dan penghargaan individu terhadap keunikan serta proses pembuatannya.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini