Strok tidak semestinya menyebabkan seseorang tidak sedarkan diri, lumpuh atau tidak mampu bercakap.
Ada yang masih sedar, boleh berjalan dan berbual, tetapi dalam masa sama mengalami rasa kebas atau lemah secara tiba-tiba terutama pada sebelah badan, mula sukar mencari perkataan ketika bercakap, hilang keseimbangan atau mengalami perubahan penglihatan.
Gejala ini mudah disalah anggap sebagai keletihan atau tekanan, namun tetap memerlukan pemeriksaan perubatan segera.
Kelewatan rawatan boleh menjejaskan peluang pesakit menerima rawatan dalam tempoh kritikal dan meningkatkan risiko kecacatan kekal.
Pakar Perubatan Kecemasan di Pusat Perubatan Sunway, Bandar Sunway (SMC), Dr. Aaron Lai Kuo Huo berkata, strok tidak semestinya berlaku dengan tanda-tanda yang jelas seperti yang sering dibayangkan orang ramai.

“Apabila gejala yang dialami kelihatan ringan, ada yang memilih untuk menunggu dan melihat sama ada keadaan akan pulih dengan sendiri.
“Namun, sikap berlengah boleh menyebabkan pesakit terlepas peluang untuk mendapatkan pemeriksaan dan rawatan segera,” katanya baru-baru ini.
Jelasnya, gejala strok juga boleh hilang selepas beberapa minit yang mungkin menandakan serangan iskemia sementara (TIA) atau juga dikenali sebagai strok mini.
Walaupun gejala sudah reda, tegasnya, pesakit tetap perlu mendapatkan pemeriksaan perubatan dengan segera.
Justeru, mengenali tanda awal penyakit itu penting supaya tindakan kecemasan dapat diambil tanpa berlengah.
Antara kaedah yang boleh digunakan untuk mengesan tanda-tanda strok ialah ‘be fast’ yang membantu orang ramai mengesan perubahan pada tubuh dan mendapatkan bantuan dengan segera.
Kaedah itu merangkumi balance iaitu kehilangan keseimbangan atau koordinasi secara tiba-tiba; eyes (perubahan penglihatan secara mendadak), face (sebelah wajah menjadi senget), arm (kelemahan atau kebas tangan), speech (kesukaran bercakap atau memahami percakapan) dan time (kepentingan mendapatkan bantuan kecemasan segera.).
“Pesakit mungkin masih boleh berjalan atau bercakap, sekali gus menyebabkan ramai sering terlepas pandang gejala ini.
“Jika disyaki strok, ahli keluarga perlu menghubungi ambulans dan tidak disarankan membawa pesakit sendiri ke hospital.
“Petugas perubatan kecemasan boleh memantau keadaan pesakit sepanjang perjalanan dan memaklumkan pihak hospital lebih awal supaya persediaan untuk rawatan segera dapat dilakukan,” katanya.
Beliau turut menasihati ahli keluarga supaya memastikan pesakit berada dalam keadaan selamat dan selesa serta mengikuti arahan petugas kecemasan sementara menunggu ambulans tiba.
Elakkan memberikan makanan, minuman atau ubat-ubatan kepada pesakit, kecuali atas arahan petugas kesihatan.
Ahli keluarga juga perlu mencatat waktu gejala bermula atau masa terakhir pesakit dilihat berada dalam keadaan normal kerana maklumat itu dapat membantu doktor menentukan pilihan rawatan yang sesuai.
Rehabilitasi selepas discaj
Sementara itu, Pakar Bedah Saraf dan Tulang Belakang SMC, Dr. Lim Swee San berkata, kebanyakan ahli keluarga cenderung menilai tahap pemulihan pesakit berdasarkan keupayaan mereka untuk berjalan semula selepas diserang strok.

Hakikatnya, strok juga boleh menjejaskan pertuturan, ingatan, tumpuan dan kesejahteraan emosi.
Kesan ini mungkin tidak begitu ketara pada pandangan orang lain, tetapi boleh memberi impak besar kepada kehidupan harian, pekerjaan dan tahap berdikari.
Justeru, katanya, rehabilitasi merupakan sebahagian penting dalam penjagaan strok.
“Penilaian dan perancangan pemulihan perlu dimulakan pada peringkat awal, manakala terapi boleh dimulakan apabila pasukan perawat menganggapnya selamat dan sesuai dari segi perubatan.
“Tahap pemulihan juga tidak boleh ditentukan berdasarkan saiz strok semata-mata, kerana lokasi kecederaan pada otak turut memainkan peranan penting,” katanya.
Ujarnya, strok yang lebih kecil tetap boleh memberikan kesan ketara jika melibatkan bahagian otak yang mengawal fungsi penting tertentu.
Selain itu, perjalanan pemulihan setiap pesakit juga berbeza, malah dua individu yang mengalami strok sama mungkin menunjukkan perkembangan yang sangat berbeza.
“Cabaran dihadapi, jenis rehabilitasi dan tempoh pemulihan juga berbeza antara seorang pesakit dengan yang lain,” katanya.
Bagi sesetengah pesakit, matlamatnya mungkin untuk berjalan semula tanpa bantuan.
Manakala yang lain mungkin mahu memperbaiki pertuturan, kembali bekerja, menguruskan urusan rumah atau melakukan aktiviti kegemaran.
“Pemulihan tidak seharusnya diukur dengan membandingkan kemajuan seseorang pesakit.
“Sebaliknya, ia dinilai berdasarkan matlamat individu dan keupayaan mereka untuk menjalani kehidupan harian secara berdikari dengan selamat dan bermakna,” jelasnya.
Swee San turut mengingatkan pesakit dan ahli keluarga yang penjagaan selepas strok bukan sekadar mendapatkan semula fungsi terjejas, tetapi juga mengelak daripada serangan strok berulang.
“Pesakit masih berisiko mengalami strok berulang, oleh itu, rawatan susulan, pengambilan ubat mengikut arahan doktor dan kawalan faktor risiko seperti tekanan darah tinggi, diabetes, kolesterol tinggi serta tabiat merokok perlu diteruskan walaupun selepas keluar hospital,” katanya.











