SEPATUTNYA setelah sekian lama tertubuhnya negara, baik pada 1957 untuk Persekutuan Tanah Melayu dan 1963 bagi Persekutuan Malaysia, identiti nasional serta budaya dalam kalangan rakyat sudah lama terbentuk.
Ini kerana dengan tempoh beberapa dasawarsa itu, perasaan keterikatan kepada negara dan budayanya bukan sahaja sudah kuat terjalin, juga kukuh berakar umbi.
Namun semua ini tidak terjadi pun. Hal ini antaranya dapat dilihat dengan jelas sekali dari sudut kebahasaan, khususnya melibatkan bahasa Melayu selaku bahasa negara yang sekali gus bertindak sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi.
Walaupun dalam peranan kenegaraan itu, bahasa Melayu masih tidak diketahui dengan baik oleh ramai rakyat yang rata-ratanya golongan muda. Apatah lagi menguasainya pada tahap tinggi oleh mereka.
Dengan masih adanya keadaan malang ini, bahasa Melayu belum dapat berperanan sepenuhnya sebagai asas identiti nasional untuk negara dan identiti budaya bagi rakyat. Ini kerana bukan semua rakyat mengetahuinya dengan baik untuk kemudiannya menguasainya pada tahap tinggi.
Kalaupun bahasa Melayu diketahui, ia masih dituturkan dalam bentuk jelik, iaitu sebagai bahasa pasar. Ini bermakna mutu bahasa Melayu itu bukan sahaja rendah malah merupakan sistem komunikasi yang lalai lagi kasar dengan nahu yang salah.
Inilah bentuk bahasa Melayu yang lazim digunakan sebagai bahasa perhubungan antara rakyat yang tidak berkongsi bahasa lain yang dikuasai bersama.
Sehubungan ini, malang sekali bahasa Melayu sebagai bahasa negara terus-terusan dituturkan dalam keadaan jelik.
Mengapakah perkara jengkel ini masih wujud setelah sekian lama bermulanya proses pembentukan negara bangsa?
Tidak dapat dinafikan terdapatnya jurang antara martabat bahasa Melayu selaku bahasa negara dengan penerimaan dan penghayatan terhadapnya. Antaranya, sikap negatif ekoran prasangka perkauman tebal.
Perkara ini sering dinafikan oleh sebahagian masyarakat Cina, meskipun mereka kerap menyatakan sikap positif terhadap bahasa Melayu melalui pengakuan masing-masing.
Kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa negara yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan seharusnya dihormati oleh semua rakyat, khususnya masyarakat bukan Melayu. Sikap acuh tidak acuh, tidak mengambil peduli atau kurang berminat untuk mempelajari dan menggunakan bahasa Melayu tidak seharusnya terus diamalkan.
Sebenarnya bahasa Melayu diterima seadanya oleh etnik bukan Melayu dalam Perjanjian Etnik 1955 yang secara longgarnya dikenali sebagai Kontrak Sosial. Etnik bukan Melayu bersetuju menerima bahasa Melayu dan sebilangan perkara Melayu lain sebagai pertukaran kepada pemberian kerakyatan yang mudah oleh etnik Melayu kepada mereka.
Dengan masih berlanjutan sikap negatif terhadap bahasa Melayu, setelah termeterainya kontrak itu, etnik Cina misalnya bukan sahaja belum melangsaikan tanggungjawab mereka untuk menerima bahasa Melayu sebagaimana janji, malah sikap negatif mereka mempunyai dampak buruk kepada perpaduan negara, yang antaranya berasaskan bahasa Melayu sebagai wadah perpaduan.
Sepatutnya setelah wujudnya kontrak itu, etnik Cina sudah melalui fasa perubahan bangsa dengan jayanya. Antaraterpenting ialah daripada berupa pendatang yang tiada keterikatan kepada negara ini menjadi rakyat yang bangga, sayang dan taat kepada bumi Melayu-Islam ini sebagai tanah air mereka jua.
PEMIKIRAN KUNO
Namun, keadaan ini masih berterusan meskipun sudah lebih 70 tahun berlalu sejak 1955. Hal ini dikaitkan dengan pemikiran sebahagian masyarakat Cina yang masih terikat pada mentaliti pendatang. Sikap tersebut sering dizahirkan melalui pelbagai alasan tentang kelemahan penguasaan bahasa Melayu serta keengganan untuk mempelajarinya dengan bersungguh-sungguh.
Antara alasannya termasuklah bahasa Melayu bukan bahasa ibunda etnik Cina. Melalui kenyataan sebebal ini, etnik Cina sebenarnya memperlihat mereka masih pendatang kerana gagal menilai kimah yang tidak terhingga pada bahasa Melayu dalam ranah kenegaraan.
Antaranya sebagai identiti nasional untuk negara dan identiti budaya bagi rakyat.
Amat mendukacitakan apabila sikap sedemikian masih mempengaruhi pemikiran dan tindakan sebahagian masyarakat Cina. Keadaan ini bukan sahaja mencerminkan kurangnya penghargaan terhadap bahasa Melayu sebagai bahasa negara, malah menimbulkan persoalan tentang keberkesanan proses pembentukan bangsa apabila masih terdapat golongan muda yang kurang menghayati identiti kebangsaan, termasuk tidak menguasai bahasa Melayu.
Didapati yang tidak cekap berbahasa Melayu, kekadang langsung tidak mengetahuinya walaupun dalam bentuk bahasa Melayu pasar. Mereka ini rata-ratanya adalah lepasan sekolah vernakular.
Lebih daripada 95 peratus anak Cina menghadiri sekolah vernakular. Dengan ini, memang terdapat sangat ramai etnik Cina bukan sahaja tidak cekap berbahasa Melayu malah mempunyai sikap acuh tidak acuh terhadap bahasa Melayu walaupun dalam peranan utamanya sebagai bahasa negara yang penting bagi kerakyatan.
Sudah tiba masanya setelah berpuluh tahun proses pembentukan bangsa berjalan dengan dinilai kembali untuk memulakan semula proses pembentukan bangsa, sesudah kegagalannya pada beberapa aspek.
Satu cara yang tiada tolak ansurnya ialah pelaksanaan persekolahan satu aliran sahaja. Hal ini sesungguhnya dititahkan oleh Ketua Negara sejurus Tuanku menaiki takhta pada awal 2024 sebagai Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Ke-17.
Tuanku menitahkan kerajaan supaya merangka satu dasar pendidikan ke arah perpaduan rakyat yang lebih kukuh dan harmoni. Tuanku bertitah dalam melahirkan generasi masa hadapan yang bersatu satu padu, ia hendaklah mengambil filsafat melentur buluh, biarlah dari rebungnya.
Hal ini sangat benar kerana sistem pendidikan kita lebih banyak memecahkan daripada menyatukan. Ini dapat dilihat apabila kanak-kanak kecil sudah dipisahkan di tadika lagi dan kemudiannya pula di sekolah rendah dengan mereka menghadiri tadika serta sekolah etnik masing-masing.
Dasar menggabungkan mereka untuk laki pertama di sekolah menengah didapati langsung tidak menjadi dan terjadi. Ini kerana sudah berlaku pengasingan etnik yang digalakkan sejak awal pendidikan.
Dengan adanya sistem pendidikan yang menyatukan semenjak dari mulanya lagi, pasti anak bangsa kan lebih menyerlah dalam kedua-dua identiti nasional dan budaya.
Seperkara lain yang penting dalam usaha rakyat menerima bahasa Melayu untuk dihayati ialah kaedah pendidikannya. Untuk ini, selain dorongan instrumental, yakni bagi memenuhi syarat yang dikenakan untuk lulus peperiksaan, dalam masa sama bahasa Melayu hendaklah juga diajar dengan menggunakan kaedah integratif, iaitu antaranya untuk menjadi ahli dalam komuniti bahasa Melayu.
Melalui kaedah integratif ini, murid dan pelajar akan didedahkan maklumat tentang kepentingan bahasa Melayu sebagai bahasa negara. Ini dilakukan dengan memberi penekanan tentang gagasan bahasa Melayu sebagai bahasa negara.
Dengan penyampaian sebegini, pasti murid dan pelajar akan bukan sahaja lebih menerima, juga menghayati bahasa Melayu yang merupakan bahasa negara ini.
Apa-apa jua, sikap terhadap bahasa Melayu dan etnik Melayu sebagai penutur jatinya, adalah jauh lebih penting daripada semua faktor lain.
Melalui perubahan sikap ini, pasti akan muncul perasaan, kepercayaan dan pandangan positif terhadap bahasa serta etnik Melayu. Ini nescaya terdapat pada pandangan, perasaan serta kelakuan yang kesemuanya positif belaka terhadap kedua-dua bahasa dan etnik Melayu. -UTUSAN
PROFESOR Emeritus Datuk Dr. Teo Kok Seong ialah Felo Majlis Profesor Negara (MPN) dan Institut Masa Depan Malaysia (MASA).










