GEORGE TOWN: Bahasa Melayu mempunyai masa hadapan yang cerah sekiranya pendekatan untuk memartabatkannya diubah dengan ruang penggunaannya diperluas khususnya dalam mendepani dunia digital yang semakin berkembang ketika ini.
Menteri Pendidikan, Datuk Seri Fadhlina Sidek berkata, dalam hal ini, bahasa Melayu perlu menjadi satu bahasa yang bukan sahaja boleh dibanggakan, malah digunakan oleh generasi muda untuk mencapai impian mereka.
“Kita tidak boleh sekadar meminta generasi muda untuk mencintai bahasa Melayu. Tetapi, kita perlu menjadikan bahasa Melayu bahasa yang mereka mahu gunakan sebagai bahasa yang mereka banggakan serta membolehkan mereka mencapai cita-cita,” katanya.
Teks ucapan beliau dibacakan oleh Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan (Sektor Pembangunan Profesionalisme), Datuk Amzan Abd. Malek pada Majlis Pelancaran Bulan Bahasa Kebangsaan 2026 Peringkat Kebangsaan di Padang Kota Lama di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Fadhlina berkata, generasi Alpha yang membesar dalam persekitaran digital mempelajari bahasa bukan sahaja melalui buku teks dan bilik darjah, malah menerusi video, permainan digital, animasi, muzik, kandungan penstriman serta interaksi dalam talian.
Sehubungan itu, katanya, bahasa Melayu perlu dibawa ke dalam dunia digital generasi muda melalui kandungan bermutu, animasi kreatif, permainan pendidikan, video pendek berilmu, penerbitan elektronik dan aplikasi berasaskan teknologi terkini.
“Dalam hal ini, Kementerian Pendidikan (KPM) juga akan terus memperkukuh kedudukan bahasa Melayu melalui dasar, kurikulum dan pelaksanaan program pendidikan, selain bekerjasama dengan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) melahirkan penggerak bahasa yang mampu membimbing masyarakat,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, Fadhlina berkata, KPM melalui DBP memperluas pengiktirafan kecemerlangan bidang penulisan, akademik serta pemartabatan bahasa dan sastera Melayu kepada pelajar institusi pengajian tinggi menerusi Anugerah Bitara DBP mulai tahun ini.
Beliau berkata, KPM turut bersetuju menyediakan peruntukan RM10,000 kepada setiap agensi, institusi pengajian tinggi (IPT), Institut Pendidikan Guru (IPG) dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang melaksanakan program pemartabatan bahasa kebangsaan pada 2027. – UTUSAN











