TIDAK lama dahulu seorang pemimpin Melayu seolah mempersoal mengapakah bahasa Melayu masih mahu dijadikan penghalang kepada sistem pendidikan dan sosial di negara ini?
Soalan berkenaan bukan sahaja tidak patut sesekali datang daripada seorang pemimpin Melayu, bahkan tidak nasional apabila ditanya oleh mana-mana pihak yang bergelar warganegara, apatah lagi etnik Melayu sebagai penduduk asal.
Ini kerana bahasa Melayu adalah bahasa negara, sekali gus berperanan sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi.
Dengan ini, bahasa Melayu merupaka identiti nasional untuk negara dan identiti budaya bagi rakyatnya.
Malang sekali perkara semudah ini pun tidak dapat difahami di bumi Melayu-Islam. Bertambah malang apabila pemimpin dari etnik Melayu jahil tentang budaya sendiri yang menjadi teras utama kepada Dasar Kebudayaan Negara (DAKEN) 2021.
DAKEN 2021 merupakan kesinambungan dan penegasan kepada Dasar Kebudayaan Kebangsaan (DKK) 1971. DKK 1971 menegaskan budaya Melayu dan ajaran Islam sebagai tunjang budaya nasional. Walaupun begitu, mana-mana unsur budaya daripada etnik lain yang tidak bercanggah dengan tradisi Melayu dan ajaran Islam, boleh ikut dimasukkan ke dalamnya.
Sebagai bahasa negara dalam kedua-dua peranan itu, bahasa Melayu adalah simbolisme perpaduan negara manakala sebagai bahasa rasmi pula, pragmatisme kemajuan rakyat dan negara.
Dengan peranan kenegaraan ini, bahasa Melayu pasti penting dalam kehidupan nasional di negara ini. Oleh itu, sistem pendidikan kebangsaan yang menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar utama lagi tunggal, bukan sahaja selalu dihormati, bahkan direalisasikan pada setiap masa.
Antaranya termasuklah pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC), yang dikendalikan secara swasta dan tidak menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar utama. Sebarang pengiktirafan bersyarat yang diberikan oleh kerajaan hendaklah dipatuhi sepenuhnya oleh semua pihak tanpa sebarang pengecualian.
Hal ini penting bagi memastikan sistem federalisme terus berfungsi dengan baik. Ini bermakna, tiada pihak seharusnya bertindak bertentangan dengan ketetapan tersebut.
Sekiranya mana-mana pihak awam mengiktiraf UEC, dua syarat yang ditetapkan, iaitu mendapat kepujian dalam mata pelajaran bahasa Melayu dan sekurang-kurangnya lulus mata pelajaran Sejarah pada peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), wajib dipatuhi dalam semua program berkaitan, termasuk pemberian tajaan.
Dua syarat ini sangat sederhana sifat, langsung tidak keterlaluan apabila diambil kira soal kenegaraan. Ini kerana dua mata pelajaran itu adalah sebahagian daripada sekumpulan mata pelajaran yang berkait rapat dengan proses pembentukan negara bangsa.
Disebabkan ada dalam kalangan rakyat Malaysia yang tidak mahu langsung mengikuti sistem pendidikan kebangsaan, maka dua syarat ini berpatutan secara realisitiknya, selain bersifat nasionalistik.
Oleh itu, tidak patut sesekali dikecualikan atas apa-apa jua kelompongan perundangan sedia ada kerana menyentuh unsur nasionalsime yang wajib disanjungi semua etnisiti, lebih-lebih lagi etnik Melayu sebagai tuan punya tempat ini.
Malang sekali ada pemimpin Melayu yang bukan sahaja sanggup melakukannya dengan terang-terangan membelakangkan semangat kebangsaan, malah seperti menyindir apabila menyatakan terdapat perbezaan ketara antara amalan di tempatnya (negara) dengan yang di tempat lain.
Bahkan pemimpin itu berkata tempatnya tidak sesekali membezakan peluang pendidikan semata-mata atas syarat mata pelajaran bahasa Melayu.
Kenyataan dan perlakuan sebegini memperlihatkan seperti adanya negara lain dalam Malaysia. Ini kerana selalu terdapat keadaan yang memperlihat tempat tertentu itu melakukan pelbagai perkara yang bertentangan dengan tempat lain di seluruh negara ini.
Walaupun bertindak atas dasar autonomi yang diberikan, gejala negara lain dalam Malaysia ini boleh membawa kepada konflik, malah krisis institusi. Ini kerana terdapatnya pusat kuasa lain yang berlawanan dengan punca kuasa sebenar dalam negara yang sama.
Selain konflik dan krisis ini, ia akan juga membawa kepada keadaan penguatkuasaan dasar tidak tekal, yang bukan sahaja menyebabkan ketidaktentuan, juga ketidakpercayaan terhadap pusat kuasa berkenaan.
Selain dalam bidang pendidikan, bahasa Melayu juga dilihat masih dianggap sebagai penghalang dalam pembentukan sistem sosial di negara ini.
Hal ini bermakna jaringan sosial antara masyarakat dengan institusi dalam negara memerlukan pengetahuan dan penguasaan bahasa Melayu yang baik. Malah, penguasaan bahasa kebangsaan pada tahap tinggi juga mencerminkan tanggungjawab setiap individu sebagai warganegara.
Isu pengetahuan dan penguasaan bahasa Melayu ini amat serius. Perkara tersebut pernah dititahkan oleh Ketua Kerajaan pada Februari 2024, sejurus baginda menaiki takhta. Namun, sehingga kini, masih belum banyak usaha signifikan dilaksanakan untuk menangani masalah tersebut.
Ini bukan lagi masalah linguistik kecil malah melibatkan kenegaraan, iaitu wargenagara tidak boleh berbahasa negara setelah sekian lama tertubuh negara. Sehubungan ini, tidak keterlaluan dikatakan Malaysia adalah satu-satunya negara di dunia yang bahasa
negaranya masih tidak diketahui dengan baik oleh warganegaranya, setelah beroperasi sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi selama hampir 70 tahun.
Dalam keadaan yang begitu serius, masih terdapat pemimpin Melayu yang mempersoalkan keperluan, malah kemestian, untuk menguasai bahasa Melayu bagi mengendalikan urusan sosial dalam negara, khususnya dalam kehidupan nasional.
Kini masalah kenegaraan ini semacam mahu dipendamkan dengan pengajuran soalan mengapa faktor bahasa Melayu masih mahu dijadikan menjadi penghalang di negara ini, antaranya dalam bidang pendidikan, sosial dan lain-lain.
BAHASA MELAYU BUKAN PENGHALANG KEMAJUAN NEGARA
Dalam pada itu, usaha mengetepikan kepentingan bahasa Melayu tidaklah menghairankan apabila perkara tersebut dibangkitkan oleh sesetengah pihak bukan Melayu. Mereka sering menegaskan rakyat Malaysia perlu terus maju dengan meneroka perkara baharu dan bergerak ke hadapan.
Sehubungan itu, faktor bahasa Melayu dan perkara seumpamanya dianggap sebagai unsur masa lalu yang tidak seharusnya terus membelenggu kemajuan negara.
Bagi etnik bukan Melayu, faktor bahasa Melayu memang diakui penting tetapi negara tidak boleh lagi terus-terusan bercakap tentangnya. Cara ini nampaknya mula diterima etnik Melayu untuk tidak mahu lagi menjadikan faktor bahasa Melayu sebagai penghalang kepada yang bukan Melayu untuk berjaya di negara ini.
Perkara ini tidak boleh diterima memandangkan etnik bukan Melayu memilih untuk terus tinggal di bumi Melayu-Islam ini setelah tamatnya penjajahan Inggeris. Mereka memohon kerakyatan daripada etnik Melayu.
Dalam memberikan kerakyatan ini, etnik bukan Melayu bersetuju, malah berjanji menerima empat perkara Melayu untuk terus tinggal di sini. Ia adalah agama, bahasa, kedudukan khas dan raja Melayu yang kemudiannya termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
Inilah janji mereka dan wajib dilangsaikan setelah sekian lama tertangguh. Namun ia kini mahu digantikan dengan perkara baharu untuk memendamkan perkara lampau yang belum terlangsai buat selama-lamanya, iaitu faktor bahasa Melayu tidak lagi diambil kira.
Sebaliknya tumpuan hendaklah diberikan kepada kemajuan sejagat, yang antaranya diasaskan kepada pengetahuan dan penguasaan bahasa Inggeris dan bahasa Mandarin. Hal ini tidak dapat dinafikan kepentingannya, namun untuk tujuan nasionalistik, dua syarat yang dikenakan itu wajib dipatuhi semua pihak di dalam negara ini, khususnya yang awam sifatnya.
Cara etnik Melayu berpolitik hari ini demi meraih kuasa sementara, sehingga mengetepikan usaha mempertahankan unsur Melayu-Islam atas nama kemajmukan, mungkin suatu hari nanti akan dikenang kembali dengan penuh kekesalan.
Antaranya sebagai menang bersorak, kampung tergadai, iaitu gembira mendapat kemenangan kecil dan akan kerugian besar nanti. Oleh itu, etnik Melayu tidak boleh sesekali bertindak melulu demi kemenangan yang tidak seberapa pada masa ini.
Ini kerana ia akan mengorbankan kepentingan mereka dalam jangka masa panjang.
Untuk ini, mereka hendaklah pintar untuk tidak sesekali terperangkap dalam percaturan licik untuk memendamkan perkara asas, yakni jati diri kebangsaan dengan penuh unsur tempatannya.
Dalam hal ini, ia mahu sengaja digantikan dengan ciri kesejagatan yang tiada langsung bahan asal negara ini, yakni Melayu, untuk membina jati diri baharu. -UTUSAN
PROFESOR Emeritus Datuk Dr. Teo Kok Seong ialah Felo Majlis Profesor Negara (MPN) dan Institut Masa Depan Malaysia (MASA).











