Kekalahan Piala Liga bakar semangat The Gunners

Kekalahan Piala Liga bakar semangat The Gunners

MIKEL ARTETA - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LIVERPOOL: Pengurus Arsenal, Mikel Arteta menyifatkan kekalahan mengejut kepada pasukan divisyen keempat, Fleetwood Town dalam saingan Piala Liga sebagai pembakar semangat buat skuad kendaliannya untuk bangkit menewaskan Liverpool 1-0 dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL), semalam.

Arteta mengakui keputusan mengecewakan itu memberi suntikan motivasi tambahan kepada pemainnya untuk membuktikan kemampuan sebenar ketika berkunjung ke Anfield, sekali gus meraih kemenangan pertama liga di gelanggang keramat Liverpool itu selepas 14 tahun.

Kemenangan tersebut hadir menerusi jaringan Kai Havertz pada minit ke-16, sekali gus membolehkan Arsenal mengukuhkan kedudukan di puncak liga dengan kelebihan tiga mata berbanding Manchester City.
Menurut Arteta, beliau melihat reaksi luar biasa dipamerkan pemainnya selepas tersingkir daripada Piala Liga, terutama apabila mereka berjaya menampilkan aksi berdisiplin untuk mengekang asakan tuan rumah sepanjang perlawanan.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Kami berkata selepas beberapa hari lalu, selepas kekalahan kepada Fleetwood, bahawa setiap perkara berlaku atas sebab tertentu dan ia akan memberikan kami semangat, keinginan serta keyakinan tambahan untuk terus melakukannya.

“Apa yang dilakukan pasukan di Anfield memang luar biasa, pemain mempamerkan prestasi terbaik untuk mengekang tuan rumah,” katanya selepas perlawanan.

Pengendali dari Sepanyol itu turut memuji komitmen pemainnya yang berjaya mengekalkan benteng pertahanan meskipun Liverpool melancarkan 16 percubaan ke arah gol, termasuk beberapa peluang berbahaya menerusi Florian Wirtz dan Alexis Mac Allister.

Arteta, yang pernah menjadi sebahagian daripada skuad Arsenal ketika mencatat kemenangan 2-1 di Anfield pada 2012, menganggap kejayaan kali ini cukup bermakna memandangkan Liverpool berada dalam momentum baik sebelum pertemuan itu.

“Melihat prestasi Liverpool ketika ini, mereka berada pada tahap yang sangat baik. Kemenangan ini memang cukup layak dan pemain berhak menerima segala pujian atas apa yang mereka lakukan,” katanya.-AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini