DI kebanyakan negara maju, khususnya di Barat, belanjawan tahunan kerajaan lazimnya dilihat sebagai proses merancang kewangan awam, termasuk menentukan perbelanjaan dan mengagihkan peruntukan berdasarkan jangkaan hasil bagi tahun fiskal berikutnya.
Perkara ini biasanya mendapat perhatian pembuat dasar, penjawat awam, pemain industri, ahli akademik, pengamal media dan penganalisis ekonomi.
Namun, dalam konteks Malaysia, belanjawan membawa makna yang lebih luas.
Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim, ketika membentangkan Belanjawan 2027 di Dewan Rakyat baru-baru ini, menyifatkannya sebagai Waad Nasional, iaitu janji dan amanah antara kerajaan dengan rakyat yang perlu ditunaikan sebaik-baiknya.
Gagasan ini turut menekankan konsep tanggungjawab setiap generasi untuk mewariskan sebuah negara yang lebih baik kepada generasi seterusnya.
Oleh itu, kejayaan belanjawan bukan sekadar diukur melalui angka pertumbuhan ekonomi, tetapi juga sejauh mana dasar yang dirancang mampu meningkatkan taraf hidup, menjaga kebajikan rakyat dan menjamin masa depan negara.
Belanjawan 2027 merupakan belanjawan kelima di bawah kerangka Madani yang bertemakan ‘Menggapai di langit, mengakar di bumi’, mencerminkan hasrat tersebut.
Tumpuannya merangkumi usaha meningkatkan daya saing ekonomi, memperkukuh tadbir urus dan memenuhi keperluan rakyat, termasuk pekerja gig, warga emas, Orang Kurang Upaya (OKU), masyarakat Orang Asli, nelayan dan petani. Pendekatan ini memperlihatkan pembangunan negara perlu bergerak seiring dengan kesejahteraan masyarakat.
MENANGANI KOS SARA HIDUP
Antara perkara yang mendapat perhatian ialah tekanan kos sara hidup yang terus dirasai rakyat, khususnya golongan berpendapatan pertengahan.
Kerajaan perlu mengimbangi keperluan membantu rakyat dengan kedudukan kewangan negara, lebih-lebih lagi ketika ekonomi global berdepan ketidaktentuan akibat perkembangan geopolitik, termasuk krisis di Asia Barat.
Bagi mengurangkan kesan kenaikan harga barang, kerajaan meningkatkan peruntukan subsidi, bantuan dan insentif kepada RM80 bilion pada tahun hadapan, termasuk kira-kira RM40 bilion untuk subsidi bahan api.
Langkah ini penting bagi mengawal kesan kenaikan kos terhadap perbelanjaan isi rumah dan mengelakkan tekanan harga merebak lebih luas dalam ekonomi.
Pengukuhan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) turut menjadi antara langkah membantu rakyat memenuhi keperluan harian.
Inisiatif SARA untuk semua diteruskan dengan pemberian sebanyak RM200 kepada rakyat Malaysia berusia 18 tahun ke atas, yang disalurkan dalam dua peringkat. Bantuan bersasar dan sokongan yang lebih meluas ini dapat membantu mengurangkan tekanan kewangan, khususnya bagi isi rumah yang memerlukan.
PENDAPATAN RAKYAT PERLU DIPERKUKUH
Selain bantuan segera, peningkatan pendapatan menjadi asas penting untuk memastikan rakyat mampu menghadapi kenaikan kos kehidupan dalam jangka panjang.
Belanjawan 2027 memperkenalkan beberapa langkah berkaitan gaji, termasuk peningkatan gaji minimum kepada RM2,000 sebulan, pengenalan gaji permulaan bagi pekerja separa mahir dan graduan serta kenaikan penanda aras gaji kehidupan wajar daripada RM3,100 kepada RM3,400 sebulan.
Usaha ini turut melibatkan Syarikat Pelaburan Berkaitan Kerajaan (GLIC) dan Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC).
Pekerja gig juga diberikan perhatian melalui cadangan gaji bermaruah yang merangkumi pendapatan minimum, bantuan penyelenggaraan kenderaan dan perlindungan insurans. Bagi kenaikan gaji minimum, perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) dengan hasil jualan tahunan di bawah RM50 juta dikecualikan daripada pelaksanaannya.
Langkah ini menunjukkan keperluan memperbaiki kedudukan pekerja tanpa mengabaikan kemampuan perniagaan, terutama perusahaan kecil yang turut berdepan tekanan kos operasi.
Keseimbangan tersebut penting supaya peningkatan pendapatan tidak menjejaskan kelangsungan perniagaan dan peluang pekerjaan.
MANFAAT LANGSUNG KEPADA RAKYAT
Pelepasan dan pengurangan cukai turut membantu meningkatkan pendapatan boleh guna rakyat. Kesan langkah ini dapat dirasai melalui pengurangan cukai yang perlu dibayar, sekali gus memberikan sedikit ruang kepada isi rumah untuk mengurus perbelanjaan bulanan.
Bagi golongan pertengahan, manfaat tersebut penting kerana mereka turut menanggung kos perumahan, pendidikan anak, pengangkutan dan keperluan keluarga.
Walaupun bantuan kewangan dan pelepasan cukai dapat memberikan kelegaan, namun usaha meningkatkan produktiviti serta menyediakan pekerjaan bergaji lebih baik tetap diperlukan bagi memperkukuh daya tahan ekonomi isi rumah.
Pada masa sama, pelbagai inisiatif yang diumumkan perlu dilaksanakan dengan berkesan agar manfaatnya benar-benar sampai kepada kumpulan sasaran. Ketepatan pengagihan, kecekapan pentadbiran dan pemantauan hasil menjadi faktor penting untuk memastikan peruntukan kerajaan memberikan pulangan yang sewajarnya kepada rakyat.
AMANAH YANG PERLU DITUNAIKAN
Walaupun Belanjawan 2027 menawarkan pelbagai langkah untuk merangsang ekonomi dan membantu rakyat, namun ia bukan penyelesaian mutlak kepada semua masalah.
Hasil akhirnya bergantung pada mutu pelaksanaan, keupayaan institusi dan kesungguhan semua pihak menjayakan dasar yang dirancang.
Waad Nasional yang diketengahkan kerajaan memerlukan komitmen bersama, bukan sahaja daripada pemimpin dan penjawat awam, malah sektor swasta, masyarakat serta rakyat sendiri. Ilmu, kreativiti dan keberanian melakukan pembaharuan diperlukan bagi memastikan sasaran yang ditetapkan dapat dicapai.
Pada akhir ucapan belanjawannya, Anwar memetik karya agung Barat, The Odyssey, yang mengisahkan perjalanan panglima perang Trojan, Odysseus, bagi menggambarkan kepentingan makna dalam sesuatu perjalanan. Begitu juga dengan belanjawan negara. Nilai sebenar perancangan ini bukan terletak pada pengumuman atau jumlah peruntukan semata-mata tetapi pada perubahan yang dirasai rakyat sepanjang pelaksanaannya.
Akhirnya, Belanjawan 2027 perlu membuktikan pertumbuhan ekonomi mampu berjalan seiring dengan peningkatan pendapatan, kebajikan dan peluang hidup rakyat. Itulah ukuran sebenar amanah yang perlu ditunaikan demi masa depan Malaysia yang lebih makmur. –UTUSAN
PROFESOR Madya Dr. Irwan Shah Zainal Abidin ialah Felo Bersekutu Kanan Institut Dasar Ekonomi dan Kewangan (ECOFI), Universiti Utara Malaysia (UUM).











