Shenzhen: Titik pertemuan keajaiban inovasi, teknologi

Shenzhen: Titik pertemuan keajaiban inovasi, teknologi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Tuntutlah ilmu sehingga ke negara China. Ungkapan yang cukup popular itu sering dikaitkan dengan usaha mencari ilmu dan pengalaman di luar lingkungan sendiri.

Bagi saya, perjalanan ke Shenzhen membuka peluang untuk melihat bagaimana teknologi dan inovasi mampu mengubah wajah sesebuah bandar.

Daripada perkampungan nelayan, kini ia berkembang menjadi antara pusat teknologi penting dunia.

Memuatkan artikel berkaitan…

Menariknya, Shenzhen yang memiliki kira-kira 18 juta populasi turut tersenarai di kedudukan nombor satu daripada 30 kota inovatif di negara berkenaan.

Kesempatan berkunjung ke sini dimanfaatkan sebaik mungkin untuk melihat dan merasai pengalaman di bandar teknologi ini sehinggakan penggunaan robot, kecerdasan buatan (AI) serta mesin yang berinovasi tinggi sudah sebati di sini.

Malah, syarikat gergasi yang berteraskan teknologi dan berkait rapat dalam kehidupan manusia juga kebanyakannya bermula di sini.

Antaranya Vivo, DJI dan Huawei.

Sebenarnya untuk melihat dan menikmati kehidupan di Shenzhen tidak sukar, bergantung kepada pelan dan perancangan seseorang.

Apatah lagi dengan segala kemudahan di bandar yang bakal diletakkan dalam perhatian masyarakat antarabangsa menerusi penganjuran acara Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (APEC) 2026 pada November nanti.

Lawatan pertama saya untuk mengenali Shenzhen bermula sebaik menjejakkan kaki di Lianhua Hill Park, iaitu sebuah taman dalam bandar yang memberi peluang penduduk di sini untuk bersantai dan beriadah.

Satu perkara yang menarik tentang taman ini ialah keluasannya yang merangkumi 181 hektar dengan menerima kira-kira 10 juta pengunjung setiap tahun.

Terdapat kepelbagaian seni taman dan aktiviti riadah yang dipecahkan mengikut zon di sini.

Sebagai contoh, di bahagian timur, pengunjung disajikan dengan keindahan kebun seni Xiaofengyangri dan Lembah Hutan Hujan serta Taman Peringatan Ulang Tahun ke-30 Zon Ekonomi Khas Shenzhen.

Di samping itu, terdapat pecahan zon lain seperti Dataran Layang-Layang, Bougainvillea dan tasik seluas 50,000 meter persegi.

Bagi pencinta flora, sudut barat laut di taman ini menjadi tumpuan utama ketika musim bunga.

Pada pandangan saya, tidak lengkap sekiranya berkunjung ke sini tanpa mendaki ke puncak bukit setinggi 100 meter dari paras laut, yang menempatkan patung gangsa ikonik mendiang pemimpin China, Deng Xiaoping, selain melihat mercu tanda Shenzhen dari sudut pandang atas.

Selain Lianhua Hill park, terdapat sebuah lagi taman yang saya sempat kunjungi iaitu Hongqio Park.

Taman ini menjadikan jambatan merah yang sejauh empat kilometer (km) panjangnya sebagai ikonik dan entitinya.

Ia menempatkan pelbagai spesies flora dan fauna, selain padang golf.

Dron penghantar minuman

Saya turut berkesempatan melawat beberapa tempat lain yang menunjukkan keupayaan dan kecanggihan China dalam membangunkan teknologi terutama berkaitan dron, kecerdasan buatan (AI) serta penggunaan robot.

Ketika berada di Shenzhen Bay Park, iaitu sebuah kawasan riadah yang terletak di tepi pantai, saya kagum dengan kemudahan yang ada di sini.

Bayangkan di satu sudut terdapat mesin layan diri yang bukan sekadar menjual minuman sebagaimana di negara kita, sebaliknya turut menjual bib larian marathon.

Bukan itu sahaja, pelari yang membeli bib berkenaan boleh mendapatkan medal di mesin lain selepas berjaya menamamatkan perlumbaan secara virtual.

Lebih mengagumkan, pelari atau pengunjung juga boleh memesan minuman yang akan dihantar dengan menggunakan dron tanpa ada tumpahan atau kerosakan pada minuman tersebut.

Taman ini boleh dikatakan sebagai permata hijau yang menggabungkan keindahan alam semula jadi dengan kemodenan bandar metropolitan Shenzhen sekali gus berfungsi sebagai kawasan zon pemeliharaan ekologi di sini.

Kekaguman saya pada perkembangan mesin, robot dan AI bertambah ketika melawat Qianhai Block V.

Sepanjang di di sini, mata saya disajikan dengan pelbagai rupa bentuk robot mahupun teknologi baharu.

Tidak keterlalua dikatakan saya bagai di dunia lain, seperti di alam fantasi.

Antaranya Oli, robot pintar humanoid bersaiz penuh daripada LimX Dynamics yang berketinggian 165 sentimeter (cm) dan mempunyai 31 darjah kebebasan aktif dengan menggunakan konfigurasi humanoid pelbagai guna (general-purpose).

Ia dibangunkan untuk memeriksa mesin, paip atau fasiliti industri tanpa perlu menghentikan operasi kilang.

Oli juga boleh melakukan pemantauan langsung dengan menghantar data, video atau imej secara terus kepada sistem pengurusan untuk dikesan jika ada kerosakan atau anomali.

Oli juga mampu menari dan boleh membuat kopi mengikut permintaan. Ada masanya, pelanggan boleh berbual bersama Oli.

Pendek kata, Oli boleh menggantikan beberapa aspek tugasan manusia terutama apabila melibatkan kawasan yang berbahaya atau berisiko tinggi.

Malah, penggunaan robot yang menjual kopi juga boleh dilihat di OH Bay iaitu sebuah kompleks dalam taman berkeluasan 270,000 meter persegi yang mempunyai ciri dan integrasi kawasan hijau, bandar, alam semulajadi, kebudayaan dan tempat riadah.

Waktu di sini, saya tertanya-tanya apa bezanya OH Bay dan kawasan bercirikan sama yang ada di Kuala Lumpur?

Tidak lama untuk saya faham bahawa kompleks di sini yang terletak di tepi laut menempatkan pusat komersial, bangunan pejabat korporat, tempat hiburan dan riadah yang membuatkan sesiapa sahaya di sayni merasakan bahawa ia milik mereka.

Tiada undang-undang ketat seperti larangan untuk baring di atas rumput atau dibiarkan anak-anak bermain air pancut.

Himpunan seni artis global

Ketika berkunjung ke Guanlan Printmaking Village, mata saya tertumpu kepada nama artis dan bendera Malaysia di satu sudut.

Emosi pertama yang mengalir dalam darah semestinya bangga apabila tertera nama Rahman Mohamed iaitu artis dari negara kita yang cukup terkenal dalam penggunaan teknik gurisan, kolagraf dan cetakan kayu.

Saya juga ‘cemburu’ dengan kejayaan Rahman menempatkan hasil karya di persada dunia setaraf dengan artis dari negara luar seperti Perancis, Jerman, Australia, China dan Russia.

Jalan mudah untuk memahami dan meminati seni walaupun pengunjung yang datang bukanlah peminat hasil tersebut ialah dengan mencuba sendiri penglaman menghasilkan karya dengan tunjuk ajar artis di sini.

Atau alternatif lain ialah dengan meninjau ruang perpustakaan yang menempatkan pelbagai bahan bacaan di sini.

Daripada situ saya tahu, kawasan ini sememangnya sudah terkenal sebagai tempat asal Chen Yanqiao (1911-1970), seorang pelopor seni cetak kontemporari China serta ahli teori dan pendidik seni.

Terdapat juga sebuah muzium dibangunkan di kampung tersebut bagi memperingati jasa dan sumbangannya.

Satu perkara yang menjadikan tempat ini sangat istimewa adalah pertembungan antara warisan sejarah dan artifak moden.

Sebagai contoh seni bina Hakka dan Menara Diaolou dengan dikelilingi kolam teratai dan pokok bambu memberi ketenangan serta ilham bukan sahaja untuk pengkarya tetapi pengunjung.

Malah, walaupun terletak di dalam rumah kampung lama berusia 300 tahun, bengkel mesin cetakannya dilengkapi dengan alatan seni cetak moden gurisan, kolagraf dan cetakan kayu dengan dibantu juruteknik tempatan yang mahir.

‘Bermesra’ dengan dinosaur

Perjalanan kemudian diteruskan ke Muzium Sejarah Semulajadi Shenzhen yang membuka peluang untuk mengenali segalanya tentang dinasour, alam angkasa, kehidupan laut dan haiwan.

Ada masanya saya merasakan seolah-olah duduk di alam dinosaur dengan ruang pameran interaktif selain pameran hidupan yang seakan-akan bernyawa apabila berada dalam muzium sejarah berskala besar yang pertama di China Selatan.

Segala ruang di muzium terlalu sarat dengan maklumat. Tidak hairanlah ia menjadi tumpuan pelajar sekolah dan kanak-kanak sepanjang berada di sini.

Sebenarnya Shenzhen ada banyak lagi muzium yang cukup berinformatif dan interaktif, yang perlu diterokai.

Tidak keterlaluan dikatakan bandar ini menjadi titik pertemuan keajaiban inovasi dan segala teknologi termasuk AI.

Walaupun hanya beberapa hari di bandar ini, ia cukup membuka mata saya yang masa depan bukan lagi sesuatu yang jauh untuk dibayangkan, tetapi sedang berlaku di depan mata dan mula menjadi kenyataan.

Paling penting, Shenzhen turut membuktikan kemajuan tidak semestinya meminggirkan seni, budaya, sejarah dan alam semula jadi yang cukup meninggalkan kesan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini