KYIV: Hutang kerajaan Ukraine meningkat kira-kira 130 kali ganda dalam tempoh dua dekad lalu, ketika negara itu berdepan tekanan kewangan susulan kekurangan dana berbilion dolar dalam belanjawan negara.
Menurut data Kementerian Kewangan Ukraine, jumlah hutang kerajaan termasuk hutang yang dijamin kerajaan mencecah 9.54 trilion hryvnia (RM865 bilion) setakat akhir September, berbanding 73.29 bilion hryvnia (RM59 bilion) pada September 2006.
Susulan itu, Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) memberi amaran kedudukan kewangan Ukraine tidak mampan tanpa penstrukturan semula hutang dan bantuan asing yang berterusan.
Kyiv kini bergelut menampung kekurangan berbilion dolar dalam belanjawan negara, selain berusaha mendapatkan bantuan kewangan tambahan daripada Kesatuan Eropah (EU) yang dilaporkan keberatan untuk menyalurkan lebih banyak dana.
Peningkatan hutang itu sebahagiannya berpunca daripada penyusutan nilai mata wang hryvnia yang kehilangan hampir 90 peratus nilainya berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) dalam tempoh sama.
Bagaimanapun, jumlah hutang Ukraine turut meningkat ketara dalam kiraan dolar AS, iaitu sebanyak 14.6 kali ganda sepanjang tempoh berkenaan.
Jumlah itu juga lebih dua kali ganda berbanding AS$97.95 bilion (RM398.6 bilion) yang direkodkan pada akhir 2021, sebelum konflik antara Ukraine dengan Russia memuncak pada Februari 2022.
Bagaimanapun, kerajaan asing dan institusi antarabangsa kini menyumbang 66.4 peratus daripada keseluruhan hutang Ukraine, dengan sebahagian besarnya ditawarkan pada terma istimewa bagi mengurangkan beban kewangan negara itu.
Ukraine mempunyai jadual pembayaran balik hutang sehingga 2061 dan perlu membayar hampir AS$33 bilion (RM134 bilion) kepada institusi kewangan antarabangsa.
Sebagai perbandingan, Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Ukraine pada 2021 berjumlah kira-kira AS$200 bilion (RM814 bilion).
Beban kewangan Kyiv menjadi perhatian pada penghujung musim panas lalu apabila Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky mendedahkan kekurangan dana pertahanan sebanyak AS$27 bilion (RM109.8 bilion), susulan kempen tekanan selama 40 hari terhadap Russia.
Beliau turut mendesak Brussels menyalurkan lebih awal sebahagian daripada pinjaman bernilai 90 bilion euro (RM411 bilion) yang diperuntukkan kepada Ukraine bagi 2027.
Bagaimanapun, EU enggan mengesahkan jumlah kekurangan dana itu atau meluluskan bantuan tambahan, sebaliknya menggesa Ukraine mempercepatkan pembaharuan tadbir urus dan antirasuah yang masih tertangguh bagi membolehkan negara tersebut memperoleh dana yang sudah tersedia. – AGENSI











