Pelan Istito’ah tidak pinggirkan pendeposit lama

Pelan Istito’ah tidak pinggirkan pendeposit lama

PELAN baharu Lembaga Tabung Haji (TH) perlu memastikan peluang menunaikan haji kekal adil kepada semua pendeposit.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PELAN Persediaan Haji: Seruan Istito’ah yang diperkenalkan Lembaga Tabung Haji (TH) pada 11 September lalu menimbulkan persoalan tentang nasib pendeposit yang telah lama mendaftar, khususnya mereka yang belum mempunyai simpanan mencukupi untuk menunaikan haji.

Setakat ini, TH mempunyai kira-kira 9.7 juta pendeposit. Daripada jumlah tersebut, 4.56 juta (47 peratus) mempunyai simpanan sekurang-kurangnya RM1,300, manakala 5.14 juta (53 peratus) menyimpan kurang daripada jumlah itu.

Daripada 4.56 juta pendeposit berkenaan, kira-kira 4.1 juta mendaftar untuk menunaikan haji. Namun, hanya 820,000 orang (20 peratus) mempunyai simpanan sekurang-kurangnya RM15,000. Selebihnya, iaitu 3.28 juta orang, masih belum mencapai jumlah tersebut.

Memuatkan artikel berkaitan…

Melalui pelan baharu ini, bakal haji perlu mempunyai simpanan minimum RM15,000 dalam Tabung Istito’ah menjelang 1 Januari 2029. 

Pendeposit yang tmendaftar perlu mencukupkan jumlah berkenaan untuk mengekalkan giliran, manakala mereka yang belum mendaftar perlu memenuhi syarat tersebut bagi mendapatkan giliran secara automatik.

Sebelum ini, simpanan minimum RM1,300 sudah mencukupi untuk pendaftaran dan mendapatkan giliran. Peningkatan hampir 12 kali ganda ini bertujuan menyesuaikan jumlah bakal haji dengan kuota tahunan sebanyak 31,600 orang.

Dari sudut ekonomi, kedua-dua pelan berfungsi sebagai mekanisme untuk menyelaraskan permintaan yang tinggi dengan kuota terhad. TH menganggarkan tempoh menunggu dapat dikurangkan daripada 147 tahun kepada 68 tahun melalui pelan baharu. Langkah ini berpotensi memberikan lebih ramai umat Islam peluang menunaikan haji ketika masih sihat dan berupaya.

Walau bagaimanapun, kesukaran mengumpulkan RM15,000 dalam tempoh ditetapkan boleh membebankan pendeposit lama. 

Sebagai alternatif, TH boleh mempertimbangkan pelan terdahulu dengan penambahbaikan berupa jadual simpanan berkala berdasarkan tahun peruntukan haji masing-masing.

Mereka yang mematuhi jadual tersebut boleh mengekalkan peluang menunaikan haji apabila tiba giliran, manakala kegagalan memenuhi sasaran simpanan boleh menyebabkan giliran terjejas. Pendekatan ini juga perlu mengambil kira umur serta tempoh menunggu supaya peluang yang diberikan lebih munasabah dan bersesuaian dengan keadaan bakal haji.

Namun, pelan lama tidak semestinya sesuai untuk semua. Tempoh menunggu sekitar 10 tahun mungkin munasabah bagi individu berusia 45 tahun tetapi keadaannya berbeza bagi mereka yang berumur 80 tahun. Begitu juga, tempoh menunggu melebihi 70 tahun sukar dianggap realistik walaupun bagi mereka yang masih muda.

Dalam pelan baharu, pendeposit lama masih diberikan tempoh sehingga 1 Januari 2029 untuk mencukupkan simpanan dan mengekalkan giliran. Sebaliknya, pendeposit yang belum mendaftar perlu menunggu sehingga pendaftaran dibuka semula serta memenuhi syarat simpanan yang ditetapkan.

Sebagai gambaran, jika 180,000 daripada 3.28 juta bakal haji yang belum mencapai RM15,000 berjaya menambah simpanan, jumlah mereka yang memenuhi syarat akan meningkat kepada kira-kira satu juta orang. 

Dengan kuota 31,600 setahun, tempoh untuk menyelesaikan kumpulan ini dianggarkan hampir 32 tahun.

Jika jumlah tambahan meningkat kepada 328,000 orang, keseluruhan bakal haji yang memenuhi syarat akan mencecah kira-kira 1.15 juta, dengan tempoh menunggu sekitar 36 tahun. Anggaran ini menunjukkan persaingan mendapatkan giliran masih sengit.

Pelan baharu TH tidak semestinya meminggirkan pendeposit lama kerana mereka masih diberi peluang mengekalkan giliran. Namun, pelaksanaannya perlu mengambil kira kemampuan kewangan dan tempoh menunggu agar peluang menunaikan haji dapat diurus secara lebih adil dan realistik. -UTUSAN

 

DR. NOR AZAM ABDUL RAZAK
Profesor Madya, 

Pusat Pengajian Ekonomi, Kewangan dan Perbankan

Universiti Utara Malaysia (UUM)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini