3,500 kanak-kanak Gaza ‘menunggu ajal’ akibat kebuluran

3,500 kanak-kanak Gaza ‘menunggu ajal’ akibat kebuluran

KANAK-KANAK Palestin menyelongkar timbunan sampah bagi mencari makanan atau barangan yang boleh digunakan di Bureij, tengah Semenanjung Gaza. – AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GAZA: Lebih 3,500 kanak-kanak berusia bawah lima tahun berdepan kematian akibat kebuluran akut di Semenanjung Gaza dengan 70,000 lagi dimasukkan ke hospital akibat kekurangan nutrisi.

Menurut Pejabat Media Kerajaan Gaza (GMO), angka itu akan terus meningkat selagi Israel terus menyekat kemasukan bantuan kemanusiaan ke wilayah tersebut yang sudah berlarutan lebih dua bulan.

“Dengan sekatan berterusan, hampir 4,000 kanak-kanak usia bawah lima tahun akan mati akibat kebuluran, badan mereka tidak mampu menampung penderitaan itu.

“Turut dianggarkan 290,000 kanak-kanak di seluruh Gaza berada di ambang kematian akibat pelbagai faktor selain kebuluran seperti serangan berterusan tentera Israel, akibat wabak penyakit dan banyak lagi.

“Ketika 1.1 juta kanak-kanak mengalami kekurangan nutrisi setiap hari, Israel mengambil kesempatan itu untuk menjadikan kebuluran sebagai senjata perang dan lebih menyedihkan, komuniti antarabangsa hanya bersikap retorik tanpa tindakan,” kata pejabat tersebut.

Sekurang-kurangnya 57 rakyat Palestin di Gaza mati akibat kebuluran sejak Israel melancarkan semula perang pada awal tahun ini.

Agensi bantuan yang berada di wilayah bergolak itu memberitahu, mereka semakin sukar untuk menyediakan makanan atau keperluan kepada penduduk Gaza berikutan tiada kemasukan bantuan kemanusiaan.

Katanya, bekalan yang semakin terhad menyebabkan mereka terpaksa mencatu dan keadaan itu diburukkan lagi dengan wabak penyakit.

Harga makanan juga melambung tinggi di kebanyakan pasar di Gaza menyebabkan penduduk tidak mampu membuat pembelian, menyaksikan lebih 80 peratus populasi Gaza bergantung sepenuhnya kepada bantuan kemanusiaan.

TRAK BANTUAN TERSADAI

Rakaman video yang diambil oleh koresponden Al Jazeera menunjukkan sejumlah trak yang membawa bantuan kemanusiaan ke Gaza tersadai di kawasan sempadan Mesir dan Gaza.

Kesemua trak berkenaan beratur sehingga bandar Arish yang terletak 45 kilometer dari sempadan Rafah.

Melaporkan dari Gaza City, Hani Mahmoud berkata, dia menyaksikan bagaimana kanak-kanak di wilayah itu menyelongkar sampah sarap bagi mencari apa sahaja yang boleh dimakan atau diminum.

“Mereka sudah tidak hiraukan kebersihan kerana rasa lapar dan dahaga mengatasi semuanya,” katanya.

Seorang penduduk, Ahmad al-Najjar pula berkata, adalah mustahil untuk mendapatkan satu set makanan lengkap Ketika ini di Gaza.

“Penduduk menyaksikan satu demi satu agensi bantuan memaklumkan mereka tidak dapat lagi menyediakan makanan kepada kami kerana bekalan sudah habis.

“Tiada trak bantuan masuk, jadi tiada bekalan disalurkan, “ ujarnya.

UBAT HABIS, HOSPITAL DAIF

Pengarah Hospital Kuwait di Rafah, Suhaib al-Hams berkata, kekurangan bekalan ubatan dan peralatan rawatan kini sudah melebihi 75 peratus dengan bekalan sedia ada hanya mampu bertahan seminggu sahaja lagi.

“Kami hanya mahu bantuan segera disalurkan kerana semakin ramai pesakit mati akibat tidak mendapat rawatan yang sewajarnya.

“Hampir semua hospital di Gaza tiada bekalan ubat, ada masa, kami hanya melihat pesakit mati seorang demi seorang tanpa mampu berbuat apa-apa,” katanya.

Sekatan bantuan yang dilakukan Israel itu merupakan paling lama pernah berlaku, selain serangan udara terus dilancarkan menyasarkan penduduk awam.

KEMATIAN MENINGKAT

Peperangan yang berlaku sejak Oktober 2023 menyaksikan sekurang-kurangnya 52,500 rakyat Gaza terbunuh dengan kebanyakannya adalah kanak-kanak dan warga emas.

Namun, GMO menyatakan jumlah korban itu adalah lebih tinggi mencecah 61,700 orang, selain masih ramai hilang dikhuatiri terperangkap di bawah runtuhan bangunan yang musnah akibat dibedil tentera Israel.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN