Jangan kenakan cukai tambahan bahan masakan, rempah import

Jangan kenakan cukai tambahan bahan masakan, rempah import

N.V. SUBBAROW
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN: Kerajaan diminta untuk tidak mengenakan cukai tambahan terhadap makanan dan bahan rempah import yang digunakan untuk masakan kerana sebarang kenaikan secara tidak langsung menyebabkan harga makanan turut meningkat.

Pegawai Pendidikan Persa­tuan Pengguna Pulau Pinang (CAP), N.V. Subbarow berkata, langkah itu penting bagi memastikan golongan berpendapatan rendah tidak terus terbeban de­ngan peningkatan kos sara hidup ketika ini.

“Pengguna mahu bajet yang seimbang. Oleh itu, harga barang mesti turun dan jangan naikkan cukai untuk makanan atau barang-barang rempah import yang digunakan untuk masakan.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Banyak bahan makanan dan rempah diimport dari India dan negara lain kerana tidak semuanya boleh diperoleh di negara kita.

“Jika cukai dikenakan atau dinaikkan, kos kepada peniaga turut meningkat dan akhirnya pengguna terpaksa membayar harga lebih tinggi,” katanya kepada Utusan Malaysia semalam.

Menurutnya, rakyat berharap Belanjawan 2027 yang akan dibentangkan kerajaan minggu depan dapat memberi kelegaan kepada golongan berkenaan terutama dalam menguruskan perbelanjaan harian.

Beliau turut mencadangkan kerajaan terus menaikkan cukai rokok bagi membantu mengurangkan tabiat merokok selain memberi manfaat daripada sudut kesihatan dan kewangan keluarga.

Katanya, wang yang biasanya dibelanjakan untuk membeli rokok boleh digunakan bagi memenuhi keperluan lebih pen­ting seperti makanan dan ubat-ubatan.

“Kalau cukai rokok dinaikkan, perokok mungkin dapat mengurangkan perbelanjaan dan wang itu boleh digunakan untuk membeli ubat, makanan dan keperluan lain.

“Jangan sampai seseorang yang sebenarnya mempunyai wang tetapi menghabiskannya untuk rokok sehingga akhirnya berdepan masalah kesihatan dan terpaksa menanggung kos rawatan sendiri,” katanya.

Subbarow turut menyarankan cukai lebih tinggi dikenakan terhadap vape bagi mengurangkan akses pelajar kepada produk berkenaan yang dianggap lebih mudah dibeli kerana harganya.

“Kalau harga vape tinggi, pelajar akan fikir tiga atau empat kali sama ada mahu membeli atau tidak. Sekarang apabila harganya murah, mereka boleh berkongsi wang dengan rakan-rakan untuk membeli vape,” katanya.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN