ARAU: Pendidikan Islam perlu terus diperkasa agar mampu melahirkan generasi yang seimbang dari sudut intelektual, rohani dan akhlak dalam mendepani dunia yang semakin mencabar.
Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail bertitah, baginda percaya bahawa usaha membina modal insan yang berkualiti harus berteraskan ilmu, adab dan nilai-nilai Islam sebenar.
“Beta menyeru seluruh lapisan masyarakat agar terus berganding bahu menyokong pembangunan pendidikan Islam demi masa depan anak-anak serta kesejahteraan negeri yang kita kasihi ini,” titah baginda pada Majlis Jamuan Teh Rakyat Menjunjung Daulat dan Perasmian Dewan Filantropi Islam Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) di Al-Madrasah Ad-Diniah Al-Islamiah (MADI), Kampung Jejawi Dalam, di sini, hari ini.
Berangkat sama, Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail diiringi Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.
Tuanku Syed Sirajuddin bertitah, perasmian dewan baharu itu bukan sekadar simbol pembangunan fizikal malah mencerminkan iltizam dan kesungguhan semua pihak dalam menyediakan persekitaran pendidikan yang lebih kondusif serta berkualiti demi manfaat warga MADI.
“Kemajuan sesebuah negeri bukan hanya diukur melalui pembangunan infrastruktur dan ekonomi semata-mata, tetapi turut bergantung pada kekuatan ilmu, keutuhan akhlak dan perpaduan rakyatnya.
“Justeru, beta berharap agar MADI akan terus menjadi pusat kecemerlangan ilmu serta wadah penyatuan masyarakat dalam membentuk generasi muda yang mencintai agama, bangsa dan tanah air,” titah baginda.
Baginda turut berharap agar kemudahan yang dibangunkan itu dapat dimanfaatkan sepenuhnya bagi pelaksanaan program ilmu, pembangunan insan dan aktiviti kemasyarakatan yang mampu memperkukuh ukhuwah serta menyemarakkan syiar Islam di negeri ini.
“Pada kesempatan ini, beta juga ingin menzahirkan penghargaan kepada para guru, ibu bapa, pewakaf, penyumbang dan seluruh warga sekolah yang sentiasa mencurahkan komitmen dan pengorbanan demi memastikan kesinambungan pendidikan Islam di negeri ini,” titah baginda.-UTUSAN










