Raja Perlis terima menghadap Pesuruhjaya Tinggi United Kingdom

Raja Perlis terima menghadap Pesuruhjaya Tinggi United Kingdom

TUANKU Syed Sirajuddin Jamalullail dan Tuanku Tengku Fauziah berkenan menerima menghadap Ajay Sharma di Istana Arau, hari ini. – FOTO ISTANA ARAU
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail dan Raja Perempuan Perlis, Tuanku Tengku Fauziah Almarhum Tengku Abdul Rashid berkenan menerima menghadap Pesuruhjaya Tinggi United Kingdom ke Malaysia, Ajay Sharma di Balai Menghadap Biru, Istana Arau, hari ini.

Menurut kenyataan, Ajay yang diiringi isterinya, Evren Sharma, berada di Perlis bagi lawatan kerja dua hari bermula semalam untuk meneroka peluang kerjasama dalam bidang perdagangan, pelaburan, pendidikan dan pembangunan ekonomi.

“Antara cadangan yang dikemukakan Ajay ialah menarik syarikat British yang sudah bertapak di rantau ini untuk meluaskan pelaburan mereka.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Dalam aspek pelaburan, beliau mencadangkan agar Perlis turut meneroka potensi syarikat-syarikat British yang telah beroperasi di Malaysia dan negara jiran Thailand, khususnya di wilayah selatan negara itu, bagi menggalakkan peluasan operasi dan pelaburan mereka ke Malaysia,” katanya.

Katanya, kepakaran dalam bidang semikonduktor yang dibangunkan Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) turut membuka peluang kerjasama antara institusi pengajian tinggi dengan industri di kedua-dua negara.

Sepanjang lawatan itu, Ajay turut mengadakan kunjungan hormat terhadap Menteri Besar Perlis di Kompleks Seri Putra dan mengikuti taklimat peluang pelaburan oleh Bahagian Perancang Ekonomi Negeri (BPEN) serta Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA).

Delegasi itu turut melawat SMK Datuk Sheikh Ahmad di Arau dan Universiti Islam Antarabangsa Tuanku Syed Sirajuddin (UniSIRAJ).

Program berkenaan turut merangkumi syarahan umum dan perbincangan bersama wakil enam institusi pengajian tinggi di Perlis.

“Lawatan ke Integrated Business Centre (IBC) di Chuping Valley Industrial Area (CVIA), Perlis Inland Port (PIP) dan Pekan Sempadan Padang Besar pula memberi pendedahan mengenai potensi Perlis sebagai hab perindustrian, logistik dan perdagangan rentas sempadan,” katanya.

Turut berangkat, Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr. Lailatul Shahreen Akashah Khalil serta puteri baginda berdua, Sharifah Khatreena Nuraniah dan Sharifah Farah Adriana. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini