PETALING JAYA: Bekas anggota kumpulan K-Clique, Tuju masih belum menghantar notis tuntutan (LOD) kepada bekas rakan sekumpulan terbabit berhubung isu bayaran royalti yang didakwa tertunggak sejak empat tahun lalu.
Tuju atau Mohd Azree Shah Awang Zamree, 30, berkata dia masih mempertimbangkan untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap kumpulan tersebut atas dasar persahabatan yang sudah terjalin.
“Saya bersuara sebab itu titik peluh saya, hak anak-anak dan isteri apabila saya meninggal dunia. Bukan ingin menyakiti orang lain, cuma saya tertanya-tanya di mana kematangan kita pada usia 30 tahun.
“Kenapa saya tangguhkan LOD? Semuanya bergantung kepada mereka. Sejujurnya, saya tidak mahu menghantar surat kerana mereka kawan dan sebelum ini mereka membayar saya seperti biasa.
“Tetapi apabila saya mula berdiam diri, mereka juga senyap selama empat tahun. Selepas saya bersuara pun masih tiada balasan,” katanya menerusi sebuah sesi audio siar di YouTube.
Bagaimanapun, penyanyi lagu Aku Ingin itu memaklumkan dia masih membuka ruang untuk bekas rakan seperjuangannya tampil berbincang meskipun sudah mempunyai laporan serta maklumat lengkap berhubung jumlah bayaran royalti yang masih belum diterima.
“Saya tiada niat mahu menyakiti sesiapa atau kumpulan itu, tetapi itu pilihan mereka apabila tidak mahu memberikan sebarang maklum balas.
“Saya sudah ada laporan dan jumlahnya, tetapi duit masih belum diterima. Sudah empat tahun lebih, tahun depan masuk lima tahun. Kalau terus berdiam diri, mungkin sampai tujuh atau lapan tahun. Jadi bila lagi saya nak ambil tindakan?
“Saya mahu berbincang tetapi mereka tidak mahu tampil ke hadapan. Saya pun banyak kekurangan, tetapi apabila perkara ini berlaku dengan orang yang bersama saya sejak hari pertama, adakah saya masih dibuli?
“Saya datang dengan aman, bukan mahu tunjuk saya bagus dan mereka jahat. Sebagai orang matang, saya mahu membuat keputusan dan mengawal emosi sebaik mungkin,” jelasnya.
Enggan memanjangkan perselisihan tersebut, Tuju berharap perkara itu dapat diselesaikan dengan segera secara baik, selain mahu fokus tumpuan kepada kerjaya muzik dan perniagaannya.
“Saya gembira dengan kehidupan sekarang. Hantar anak awal pagi, pergi kedai pada waktu malam, fokus album dan cari rezeki. Esok ulang lagi rutin sama.
“Saya tahu mereka juga begitu. Jadi mudah sahaja, saya datang ke hadapan dan cari penyelesaian. Apa yang berlaku sekarang bergantung kepada keputusan mereka yang tidak membalas mesej saya.
“Empat tahun baru saya bersuara kerana percaya kepada mereka dan menganggap mereka matang. Saya minta maaf dan tahu saya bukan sempurna, tetapi niat saya cuma mahu hak saya dikembalikan,” ujarnya.
Sebelum ini, Tuju menerusi hantaran di Threads memberi gambaran bakal mengambil tindakan undang-undang terhadap K-Clique berhubung isu royaliti lagu ciptaannya yang didakwa masih tertunggak.
Malah dia juga memuat naik bukti menunjukkan hantaran mesej yang sudah dihantar kepada anggota kumpulan berkenaan namun tiada balasan sejak 1 Jun lalu.
Selain Tuju dan FareedPF, K-Clique turut dianggotai MK, Noki, Somean, KDeaf, Gnello dan NastyNas.











