Ketua Konservator Utama Hutan, Jaipal Singh berkata, pihaknya sudah memulakan siasatan berhubung kejadian itu.
“Kami sudah melancarkan siasatan terhadap insiden berkenaan. Beberapa kakitangan hutan sedang mengarahkan singa itu kembali ke kandangnya di taman safari pada waktu petang.
“Kebiasaannya, tugas rutin ini dilakukan menggunakan jip, namun beberapa kakitangan menggunakan motosikal,” katanya kepada agensi berita PTI pada Ahad.
Video yang tersebar menunjukkan beberapa lelaki menunggang motosikal sambil mengejar singa berkenaan yang dilihat berlari ke sana sini, sekali gus mencetuskan dakwaan haiwan itu diganggu.
Pemangku Penolong Konservator Hutan (ACF), Mitesh Vaniya berkata, video berkenaan dirakam ketika sambutan perayaan Deepavali.
Bagaimanapun, beliau menafikan singa itu diganggu, sebaliknya menjelaskan kakitangan berkenaan hanya cuba mengarahkannya kembali ke kawasan kurungan.
“Taman safari itu meliputi kawasan seluas lebih 300 hektar dan setiap hari pada pukul 5 petang, singa diberi makan di kawasan berpagar yang dikenali sebagai kraal.
“Kakitangan dalam video itu menyedari seekor singa tersasar dari kawasan berkenaan lalu mengarahkannya kembali ke kurungan. Tiada niat untuk mengganggu haiwan itu,” katanya.
Vaniya berkata, Taman Safari Ambardi menerima kunjungan pelancong yang ramai pada musim ini, menyebabkan kakitangan hutan bertugas selama 12 jam tanpa henti bagi memastikan urusan pengendalian taman berjalan lancar sepanjang musim cuti.-AGENSI









