KANGAR: Hubungan rakyat antara negara menerusi perkongsian sejarah, budaya dan warisan dapat dieratkan menerusi Pameran Setem Lima Negara Perlis Malaysia 2026.
Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail bertitah, filateli khususnya setem membawa kisah mengenai sejarah, budaya, warisan dan masyarakat sesebuah negara selain berperanan sebagai duta kecil menghubungkan masyarakat serta budaya merentasi sempadan.
Titah baginda, melalui pameran setem tersebut, masyarakat dapat mengenali sejarah dan budaya negara-negara lain.
“Selain itu, masing-masing dapat bertukar pengetahuan, mengeratkan persahabatan dan menjalinkan persahaban baharu,” titah baginda merasmikan pameran berkenaan di sini malam tadi.
Berangkat sama, Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.
Hadir sama, Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil dan Menteri Besar, Abu Bakar Hamzah.
Pameran Setem Lima Negara Perlis Malaysia 2026 bermula 25 sehingga 27 September itu dianjurkan Perbadanan Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis (PSSI)- Perlis Tourism dan Persatuan Filateli Malaysia (PSM) dengan kerjasama Pos Malaysia membabitkan Malaysia, Thailand, Singapura, Indonesia, Vietnam serta negara jemputan Bangladesh.
Program tiga hari yang menyasarkan kehadiran lebih 10,000 pengunjung itu menyaksikan lebih 325 bingkai melibatkan setem dari enam negara tersebut selain sebanyak 98 koleksi setem dengan pelbagai tema merangkumi 29 kelas pertandingan antaranya filateli tradisional, sejarah pos, aerofilateli, setem hasil, filateli tematik, poskod bergambar dan filateli remaja.
Baginda turut menzahirkan rasa sukacita kerana Perlis menjadi lokasi pertemuan komuniti filateli dari rantau ini.
Tuanku Syed Sirajuddin juga berharap persahabatan yang terjalin akan berterusan dan membawa lebih banyak pertukaran serta kerjasama pada masa akan datang.
“Pameran ini bukan sahaja wajar dikenang kerana koleksi yang mengagumkan malah persahabatan dan persefahaman yang berjaya dipupuk dalam kalangan negara mengambil bahagian,” titah baginda.-UTUSAN











