MUKADIMAH
PERIKATAN Nasional meneruskan momentumnya untuk mengejar hari-hari terakhir dalam kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kubu Baharu dan dilihat meletakkan isu ekonomi ‘membebani rakyat’ serta ‘referendum kepada kerajaan’ sebagai landasan mereka yang berterusan dan berprinsip sehingga pada pecutan akhir kempen.
Kepada Wartawan Utusan Malaysia, MOHAMAD ATHIR ISMAIL, calon PN, KHAIRUL AZHARI SAUT dengan tema Khairul Komited Berkhidmat (KKB) merungkai persoalan-persoalan kecil berlegar sepanjang kempen.
UTUSAN: Apa perkara pertama yang hendak atau perlu dibuat tuan jika menang PRK Kuala Kubu Baharu?
Pastinya seperti mana disebut dalam manifesto tempoh hari, saya akan wujudkan segera pejabat khidmat masyarakat dan dalam pada masa, tak boleh duduk dan rehat, sebaliknya kena terus menyantuni masyarakat setempat.
Apa pengalaman Khairul Azhari dalam politik dan siapa anda sebelum menyertai Parti Bersatu dan bertanding dalam pilihan raya?
Saya dengan politik, saya cuma serius bermula dengan Parti Bersatu, sebelum ini saya cuma ahli biasa yang tak kisahlah. Kita dengar dan kita ikut sahaja.
Ini kali pertama bertanding, pada minggu pertama sudah terima serangan dan kritikan, bagaimana debarannya mempengaruhi hari-hari terakhir kempen?
Pastinya ini kali pertama debaran pasti ada, dengan keadaan, suasana, terutamanya selepas hari penamaan calon, media semua tahu macam mana saya kena sampai tak boleh bercakap saya dibuatnya. Bukan saya tak boleh jawab. Tetapi itu adalah pengalaman pertama saya apabila diserbu begitu. Terkedulah maksudnya, terkejut.
Kempen pada pusingan kedua ini sudah pun memberi gambaran tentang luahan masyarakat, macam mana sokongan mereka?
Saya nampak sokongan itu makin meningkat kepada PN, terutamanya kepada saya. Sebenarnya secara tak langsung ramai yang saya kenal di kawasan di Kuala Kubu Baharu. Insya-Allah saya nampak momentumnya, keluarga memberi keyakinan yang amat tinggi kepada saya untuk terus berkempen sampailah hari Jumaat pukul 12 tengah malam.
PN berterusan bangkitkan isu kos sara hidup yang merupakan isu nasional, apakah undinya nanti merupakan mesej kepada Kerajaan Persekutuan sahaja?
Ya betul sebab kita tahu isu-isu nasional bukan setakat di kawasan tertentu, ia di seluruh negara. Tak kiralah kawasan itu ada PRK ataupun tidak semua terkesan. Jadi kita harus bersama tunjukkan keadaan sekarang ini sukar untuk rakyat dan kebetulan kita ada PRK, suara kita itu lebih didengar, supaya kerajaan akan melihat, menilai perkara itulah.











