HULU SELANGOR: Biarpun Pakatan Harapan (PH) yang mewakili Kerajaan Perpaduan manakala Perikatan Nasional (PN) dilihat sebagai ‘gergasi yang berlaga’ pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kubu Baharu, namun itu tidak semestinya cetus politik tidak waras.
Malah, kedua-dua calon Pang Sock Tao (PH) dan Khairul Azhari Saut (PN) ketika diikuti Utusan Malaysia dalam siri kempen sepanjang dua minggu mendapati mereka kerap kali bertegur sapa ketika terserempak di lokasi sama.
Menurut Sock Tao, isu-isu yang dimainkan dalam media sosial terutama daripada peminat-peminat politik tidak menggambarkan realiti sebenar persaingan antara parti-parti apabila mereka bersemuka.
“Memang okey, bila jumpa memang akan bersalam, beramai-ramai semua. Cuma dalam media sosial memang akan ada penyokong masing-masing yang nakal. Bagi saya itu yang diinginkan, barulah realiti.
“Jadi saya dorong semua orang untuk membaca lebih sumber-sumber media yang sahih terutama arus perdana. Jangan terlampau fokus pada TikTok sebab mesej-mesej di sana tidak terkawal.
Ramai pengguna menyuarakan macam-macam perkara (mengikut perasaan),” katanya kepada Utusan Malaysia.
Dalam PRK Kuala Kubu Baharu, Sock Tao dan Khairul Azhari berentap dalam pertembungan empat penjuru menentang dua lagi calon iaitu Hafizah Zainudin daripada Parti Rakyat Malaysia (PRM) dan calon bebas, Nyau Ke Xin.
Seramai 39,362 pengundi dijadualkan keluar mengundi pada 11 Mei ini manakala pengundi awal seramai 769 atau 97 peratus daripada 863 sudah menunaikan tanggungjawab mereka semalam.
Dalam pada itu, Khairul Azhari berkata, beliau lebih gemar berpolitik secara profesional tanpa terganggu dengan sebarang isu yang melanda.
“Saya okey, Alhamdulillah, terutamanya dengan yang sering kita terjumpa atau terserempak.
“Saya rasa, media pun tahu bila berada di lapangan, saya tak ada masalah, kita berpolitik bukan mencari musuh. Kita berpolitik secara waras, sesiapa sahaja adalah tetap sahabat kita. (Soal sikap penyokong politik) itu saya tak mahu sentuh sangatlah,” ujarnya.











