GEORGE TOWN: Kerajaan diminta untuk tidak mengenakan cukai tambahan terhadap makanan dan bahan rempah import yang digunakan untuk masakan kerana sebarang kenaikan secara tidak langsung menyebabkan harga makanan turut meningkat.
Pegawai Pendidikan Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP), N.V. Subbarow berkata, langkah itu penting bagi memastikan golongan berpendapatan rendah tidak terus terbeban dengan peningkatan kos sara hidup ketika ini.
“Pengguna mahu bajet yang seimbang. Oleh itu, harga barang mesti turun dan jangan naikkan cukai untuk makanan atau barang-barang rempah import yang digunakan untuk masakan.
“Banyak bahan makanan dan rempah diimport dari India dan negara lain kerana tidak semuanya boleh diperoleh di negara kita.
“Jika cukai dikenakan atau dinaikkan, kos kepada peniaga turut meningkat dan akhirnya pengguna terpaksa membayar harga lebih tinggi,” katanya kepada Utusan Malaysia semalam.
Menurutnya, rakyat berharap Belanjawan 2027 yang akan dibentangkan kerajaan minggu depan dapat memberi kelegaan kepada golongan berkenaan terutama dalam menguruskan perbelanjaan harian.
Beliau turut mencadangkan kerajaan terus menaikkan cukai rokok bagi membantu mengurangkan tabiat merokok selain memberi manfaat daripada sudut kesihatan dan kewangan keluarga.
Katanya, wang yang biasanya dibelanjakan untuk membeli rokok boleh digunakan bagi memenuhi keperluan lebih penting seperti makanan dan ubat-ubatan.
“Kalau cukai rokok dinaikkan, perokok mungkin dapat mengurangkan perbelanjaan dan wang itu boleh digunakan untuk membeli ubat, makanan dan keperluan lain.
“Jangan sampai seseorang yang sebenarnya mempunyai wang tetapi menghabiskannya untuk rokok sehingga akhirnya berdepan masalah kesihatan dan terpaksa menanggung kos rawatan sendiri,” katanya.
Subbarow turut menyarankan cukai lebih tinggi dikenakan terhadap vape bagi mengurangkan akses pelajar kepada produk berkenaan yang dianggap lebih mudah dibeli kerana harganya.
“Kalau harga vape tinggi, pelajar akan fikir tiga atau empat kali sama ada mahu membeli atau tidak. Sekarang apabila harganya murah, mereka boleh berkongsi wang dengan rakan-rakan untuk membeli vape,” katanya.-UTUSAN.











