PETALING JAYA: Juruterbang dan kru kabin Malaysia Aviation Group (MAG) menjalani saringan air kencing sekurang-kurangnya sekali seminggu, dengan keputusan positif boleh membawa kepada tindakan tatatertib termasuk penamatan perkhidmatan.
MAG dalam maklum balas kepada Utusan Malaysia berkata, anggota kru yang memperoleh keputusan saringan bukan negatif akan digantung tugas sementara menunggu keputusan ujian pengesahan.
“Anggota kru yang disahkan positif akan dikenakan tindakan tatatertib termasuk penamatan perkhidmatan, mengikut prosedur yang ditetapkan,” katanya.
MAG berkata, semua proses saringan dilaksanakan berdasarkan prosedur operasi standard (SOP) yang diluluskan bagi memastikan ketelusan dan konsistensi, selain melindungi hak peribadi pekerja.
Bagaimanapun, perincian mengenai kekerapan dan pelaksanaan saringan menerusi cadangan Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) kini sedang dimuktamadkan.
Langkah itu penting bagi memperkukuh tahap keselamatan penerbangan serta mencegah penyalahgunaan bahan terlarang dalam kalangan warga kerja, khususnya kru yang bertanggungjawab terhadap keselamatan penumpang.
“Perancangan yang teliti serta pengaturan kru gantian membolehkan langkah-langkah ini dilaksanakan tanpa menjejaskan jadual penerbangan,” katanya.
Menurut MAG, langkah kawalan berkenaan sudah dilaksanakan dan kerjasama menerusi MoU bersama AADK dijangka memperkukuh usaha kumpulan itu mengekalkan rekod sifar kes positif yang disahkan.
“Usaha ini juga bagi memastikan kesediaan kru untuk bertugas serta memelihara keyakinan penumpang,” katanya.
Dalam pada itu, MAG menyambut baik cadangan kerjasama dengan AADK yang akan memperkukuh hubungan kedua-dua pihak sejak 2018 dalam usaha mencegah penyalahgunaan bahan terlarang dalam kalangan warga kerjanya.
MAG berkata, pihaknya mempunyai keupayaan dalaman untuk menjalankan saringan air kencing secara berkala, ujian rawak dan pemeriksaan mengejut dan langkah itu telah dilaksanakan.
“Selaras dengan Arahan Keselamatan SD 2/2026 yang dikeluarkan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM), MAG sedang melaksanakan langkah-langkah segera dan jangka panjang.
“Untuk rekod, syarikat ini telah melengkapkan saringan terhadap semua juruterbang dan kru kabin Malaysia Airlines serta Firefly yang aktif bertugas dengan semua keputusan saringan didapati negatif,” katanya.
MAG menegaskan aspek keselamatan tidak boleh dikompromi dengan dasar toleransi sifar terhadap penyalahgunaan bahan terlarang.
Kelmarin, akhbar ini melaporkan AADK akan memulakan ujian saringan air kencing secara berkala dan pemeriksaan mengejut terhadap juruterbang serta kru kabin MAG dalam masa terdekat.
Ketua Pengarah AADK, Datuk Ruslin Jusoh dilaporkan berkata, kerjasama itu kini dalam proses dimuktamadkan menerusi MoU antara AADK dan MAG dengan cadangan berkenaan bukan sahaja melibatkan juruterbang, malah kru penerbangan lain bagi memastikan sektor penerbangan bebas daripada penyalahgunaan dadah.
Perbincangan memuktamadkan MoU berkenaan sedang berjalan dan dijangka dimeterai antara AADK dengan MAG bulan ini.











