MCMC teliti rakaman AI manipulasi kedukaan Dr. Mahathir

MCMC teliti rakaman AI manipulasi kedukaan Dr. Mahathir

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Penyebaran rakaman bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad ketika berduka atas pemergian isterinya yang dimanipulasi menggunakan kecerdasan buatan (AI) sedang diteliti Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).

MCMC berkata, pihaknya sudah menghubungi platform media sosial berkaitan bagi meneliti kandungan tersebut.

Menurut suruhanjaya itu, manipulasi rakaman sebenar merupakan perkara serius kerana ia boleh mengelirukan masyarakat, mengubah konteks peristiwa serta menjejaskan maruah individu dan keluarganya.

Memuatkan artikel berkaitan…

Katanya, perbuatan berkenaan juga tidak boleh dianggap remeh, terutama apabila melibatkan seseorang yang sedang melalui kehilangan insan tersayang.

“Jika hasil penelitian mendapati adanya pelanggaran undang-undang, tindakan sewajarnya boleh diambil berdasarkan peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa, termasuk Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588),” katanya dalam kenyataan.

Sehubungan itu, MCMC mengingatkan orang ramai supaya tidak menghasilkan, memuat naik atau menyebarkan bahan yang dimanipulasi sehingga mengelirukan masyarakat atau menjejaskan pihak lain.

Suruhanjaya itu turut menyeru pengguna menyemak kesahihan kandungan sebelum berkongsi serta melaporkan bahan yang disyaki dimanipulasi kepada platform media sosial atau pihak berkuasa berkaitan.

Menurutnya, manfaat teknologi AI perlu disertai penggunaan yang bertanggungjawab.

“Teknologi tidak seharusnya digunakan untuk memutarbelitkan kebenaran atau mengeksploitasi kesedihan seseorang sehingga mengorbankan maruah dan nilai kemanusiaan,” katanya.

Terdahulu, media melaporkan, tular satu video yang menggunakan AI untuk memanipulasi rakaman Dr. Mahathir ketika berduka atas pemergian isterinya, Allahyarham Tun Dr. Siti Hasmah Mohamad Ali.

Allahyarham meninggal dunia pada 28 September lalu pada usia 100 tahun dan diberikan penghormatan pengebumian negara oleh kerajaan.

Dr. Mahathir dan Allahyarham mendirikan rumah tangga pada 1956 selepas berkenalan ketika mengikuti pengajian perubatan di Singapura.

Pasangan itu menyambut ulang tahun perkahwinan ke-70 pada Ogos lalu. – UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN