KUANTAN: Seorang pemilik rumah sewa di Cherating di sini, bukan sahaja menanggung kerugian puluhan ribu ringgit malah berdepan kemungkinan tindakan saman daripada Tenaga Nasional Berhad (TNB) selepas kediamannya itu dijadikan pusat perlombongan Bitcoin haram.
Rabiatul Adawiyah Abdul Rahman, 35, berkata, kegiatan itu hanya disedari selepas rumahnya diserbu polis bersama TNB pada Ahad lalu.
“Jiran memaklumkan ada polis dan TNB di depan rumah sebelum saya dan suami bergegas ke lokasi. Kami terkejut apabila diberitahu tentang kegiatan mencuri elektrik untuk melombong Bitcoin,” katanya ketika ditemui di sini semalam.
Rabiatul Adawiyah berkata, pemeriksaan mendapati terdapat peralatan perlombongan Bitcoin di dalam rumah itu sebelum polis mengambilnya sebagai bahan bukti siasatan.
Katanya, dia membuat laporan di Balai Polis Cherating kira-kira pukul 3 petang hari sama dan dimaklumkan siasatan sedang dijalankan bagi mengenal pasti identiti sebenar penyewa terbabit.
“Polis beritahu kemungkinan kad pengenalan palsu digunakan termasuk milik individu yang sudah meninggal dunia atau dokumen diubah suai menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI),” katanya.
Ujarnya, kebimbangan utama kini adalah kemungkinan berdepan tuntutan daripada TNB kerana akaun elektrik rumah berkenaan masih atas namanya.
“Saya difahamkan jumlah tuntutan boleh mencecah puluhan hingga ratusan ribu ringgit, namun belum tahu jumlah sebenar dan tindakan lanjut,” katanya.
Keadaan rumah juga rosak teruk selepas diubah suai untuk memasang pendawaian tambahan bagi kegiatan haram itu sehingga kos membaiki dianggarkan puluhan ribu ringgit.
Rabiatul Adawiyah yang kini memegang kad Orang Kurang Upaya (OKU) selepas diserang angin ahmar tiga bulan lalu berkata, dia pada ketika ini sangat terkesan kerana rumah sewa itu menjadi sumber pendapatan utama. –UTUSAN











