LONDON: Arsenal mungkin beraksi tanpa sembilan pemain utama menentang Bayer Leverkusen dalam aksi pertama pusingan 16 Liga Juara-Juara di Jerman.
Beberapa pemain skuad utama dilaporkan mengalami kecederaan, sekali gus menimbulkan kebimbangan buat pengurus, Mikel Arteta menjelang perlawanan penting itu.
Dalam aksi pusingan keempat FA Cup menentang Mansfield Town sebelum ini, Arteta melakukan sembilan pertukaran dalam kesebelasan utama akibat kecederaan.
Namun, dua pemainnya iaitu Leandro Trossard dan Riccardo Calafiori terpaksa dikeluarkan selepas kedua-duanya berasa tidak selesa walaupun cedera ringan.
Pada masa sama, Declan Rice, Gabriel Magalhães dan Martin Zubimendi tidak menyertai perjalanan ke Field Mill kerana masih bergelut dengan masalah kecergasan.
Selain itu, Ben White, Martin Odegaard, Mikel Merino serta William Saliba juga tidak tersedia untuk diturunkan.
Arteta berkata, keputusan mengeluarkan Calafiori dan Trossard dibuat sebagai langkah berjaga-jaga.
“Kedua-duanya mengalami sedikit kecederaan dan tidak selesa untuk meneruskan permainan. Saya sudah menjangkakan perkara ini mungkin berlaku, terutamanya dengan keadaan padang, jadi kami terpaksa mengeluarkan mereka,” katanya.
Mengulas ketiadaan Rice, Gabriel dan Zubimendi, Arteta menjelaskan ketiga-tiga pemain itu sebenarnya sudah lama berdepan masalah kecergasan.
“Mereka mempunyai beberapa isu kecederaan dan jadual perlawanan yang padat menjadikan keadaan lebih mencabar. Ini satu-satunya masa untuk memastikan mereka dapat pulih sepenuhnya sebelum memasuki tempoh dua minggu perlawanan seterusnya sebelum rehat antarabangsa,” katanya.
Selepas aksi menentang Leverkusen, Arsenal akan berdepan Everton di laman sendiri sebelum sekali lagi bertemu kelab Jerman itu dalam aksi timbal balik di London minggu depan. – AGENSI/UTUSAN










