KUALA LUMPUR: Penyertaan syarikat tempatan dalam Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) dan Pameran Keselamatan Kebangsaan Asia (NATSEC) 2026 sejajar dengan Dasar Industri Pertahanan Negara (DIPN) yang menyasarkan 30 peratus penggunaan komponen tempatan bagi perolehan aset pertahanan negara.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, sebanyak 368 syarikat tempatan terlibat dalam segmen baharu iaitu Gabungan Industri Pertahanan Tempatan Malaysia yang menggabungkan pelbagai syarikat tempatan untuk mempamerkan produk dan keupayaan masing-masing dalam pameran DSA dan NATSEC Asia kali ini.
“DSA turut menjadi pemangkin kepada pelaksanaan DIPN melalui penglibatan lebih aktif syarikat tempatan dalam rantaian bekalan global.
“Dalam setiap perolehan yang kita laksanakan, kita pastikan syarikat yang membekalkan peralatan memainkan peranan untuk membangunkan industri tempatan.
“Maknanya apa yang kita tetapkan sebagai dasar 30 peratus mesti komponen tempatan dan ia dapat dicapai kerana kita lihat banyak syarikat-syarikat tempatan yang telah pun ke hadapan untuk tunjukkan produk-produk mereka yang sesuai, yang boleh diambil kira, dipertimbangkan untuk syarikat OEM memenuhi syarat yang dikenakan oleh kerajaan,” katanya pada sidang akhbar selepas meninjau persiapan akhir pameran itu di Pusat Dagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC), di sini, hari ini.
Mohamed Khaled berkata, Kementerian Pertahanan juga bakal menyampaikan dokumen Program Kolaborasi Industri (ICP) yang dianggarkan bernilai RM1.4 bilion kepada beberapa syarikat yang berjaya bagi tujuan pemindahan teknologi kepakaran seperti penyelenggaraan.
Jelasnya, ICP turut meningkatkan keupayaan penyelenggaraan serta pembangunan komponen aset pertahanan.
“ICP ini sangat penting kepada negara kerana melaluinya kita akan dapat meningkatkan keupayaan negara sama ada dalam soal penyelenggaraan ataupun dalam soal untuk membina komponen-komponen bagi mana-mana aset, ataupun pada akhirnya kita dapat mengeluarkan aset-aset yang memang diperlukan untuk negara,” katanya.
Pameran DSA dan NATSEC Asia 2026 yang berlangsung dalam tempoh dua tahun, bermula esok sehingga Khamis ini. – UTUSAN









