KUALA LUMPUR: Airod Sdn. Bhd. (Airod) menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan Airbus Defence and Space bagi memperkukuh keupayaan penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih pesawat (MRO) untuk pesawat Airbus A400M milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).
MoU yang disaksikan oleh Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin itu akan menyaksikan kedua-dua pihak bekerjasama dalam meningkatkan kepakaran teknikal, standard serta amalan terbaik dalam penyelenggaraan empat pesawat milik TUDM.
Presiden Kumpulan National Aerospace and Defence Industries Sdn. Bhd., Datuk Edron Hayata Ahmad berkata, kerjasama itu merupakan langkah penting dalam memperkukuh ekosistem aeroangkasa pertahanan Malaysia.
“Kerjasama dengan Airbus Defence and Space ini merupakan langkah penting dalam memperkukuh ekosistem aeroangkasa pertahanan Malaysia.
“Dengan memajukan keupayaan MRO tempatan bagi platform A400M, kita menyokong kesiapsiagaan operasi TUDM serta meletakkan Malaysia sebagai hab serantau yang diyakini untuk penyelenggaraan pesawat ketenteraan,” katanya.
Sementara itu, Ketua Wakilan Airbus di Malaysia, Burhanudin Noordin Ali berkata, pihaknya akan terus memperluaskan kerjasama dengan industri pertahanan di Malaysia sebagai komitmen panjang mereka selaras dengan Dasar Industri Pertahanan Negara (DIPN).
“Sebagai rakan strategik kepada Malaysia dan penyumbang utama kepada pembangunan perindustrian tempatan, Airbus kekal komited untuk terus mengembangkan jejak industrinya di negara ini.
“Perjanjian-perjanjian ini mencerminkan hasrat kami untuk memperkukuh keupayaan industri pertahanan tempatan melalui kerjasama dengan syarikat-syarikat Malaysia, selaras dengan DIPN yang dilancarkan awal tahun ini.” katanya. – UTUSAN










