KUALA LUMPUR: Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza Tarudin mengakui berdepan perasaan gementar apabila diminta menyanyikan lagu Negaraku pada majlis penutupan PETRONAS Grand Prix of Malaysia 2026 di Litar Antarabangsa Sepang (SIC), kelmarin.
Menurut Siti Nurhaliza, peluang menyanyikan lagu kebangsaan itu hadir secara tidak dijangka apabila beliau ditawarkan untuk mengisi acara berkenaan pada saat akhir, ketika hadir menyaksikan perlumbaan bersama suaminya, Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa.
Katanya, pihak penganjur menghubungi suaminya sehari sebelum acara bagi mendapatkan persetujuan untuk beliau menyanyikan lagu Negaraku, sekali gus menjadikan tawaran itu satu tanggungjawab istimewa demi negara.
“Sebenarnya agak ‘last minute’ saya ditawarkan untuk menyanyikan lagu Negaraku. Pihak Sepang maklumkan kepada saya, protokolnya kalau Tuanku Agong berangkat, memang Negaraku tak perlu ada penyanyi. Tapi bila Tuanku Agong tidak berangkat, Negaraku kena ada penyanyi.
“Mereka pun tercari-cari siapa, dan kebetulan saya memang pergi menonton bersama suami. Jadi, satu hari sebelum acara, mereka bertanya kepada suami saya boleh tak minta saya nyanyi. Saya kata untuk negara, okey boleh. Tapi Ya Allah, gementarnya!” katanya.
Siti berkongsi pengalaman itu ketika ditemui usai Majlis Apresiasi sempena kejayaan Konsert Legacy 30 dan Konsert Gema Bumantara di Pusat Konvensyen KLGCC, di ibu negara, semalam.
Mengulas persiapan persembahan itu, Siti berkata, beliau perlu menyesuaikan vokalnya dengan iringan pancaragam Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Katanya, selepas meminta pihak berkenaan memperdengarkan susunan muzik yang disediakan, Siti mendapati susunan vokal asal menggunakan julat suara lelaki, sekali gus memerlukan sedikit penyesuaian bagi memastikan suaranya dapat didengar dengan jelas.
“Saya minta dengar susunan muzik (arrangement), sekali dapat susunan vokal lelaki. Kalau vokal lelaki mestilah saya kena nyanyi rendah, tak dengar suara nanti.
“Jadi, kami berbincang melalui telefon saja. Saya nyanyikan key vokal saya guna voice note, hantar pada ketua muzik Angkatan Tentera dan mereka tukar susunan ikut key saya,” katanya.
Ditanya mengenai gurauan bahawa beliau memberikan sentuhan seperti persembahan Anugerah Juara Lagu (AJL) ketika menyanyikan lagu kebangsaan itu, Siti Nurhaliza berseloroh bahawa keutamaannya adalah memastikan persembahan tersebut membangkitkan semangat patriotisme.
Menurut penyanyi itu, beliau sengaja menaikkan nada pada bahagian penghujung lagu bagi menghasilkan penutup yang lebih bersemangat, selaras dengan suasana acara sukan permotoran bertaraf antarabangsa itu.
“Bahagian hujung itu memang saya naikkan nadanya supaya bila penutup nampak kita bersemangat dan berkobar-kobar. Bila nyanyi lagu Negaraku, kita automatik rasa cinta negara dan nyanyian itu akan ikut sama,” katanya.











