KEPENTINGAN kesiapsiagaan strategik dan kerjasama pelbagai hala bagi menangani cabaran keselamatan yang semakin kompleks menjadi sebahagian agenda utama global termasuk bagi blok ASEAN.
Apatah lagi dalam perkembangan dunia teknologi yang semakin canggih dengan kemunculan kecerdasan buatan (AI) dan pembangunan siber pada masa kini.
Justeru, Malaysia memainkan peranannya dengan memberi penekanan dan fokus terhadap elemen tersebut menerusi penganjuran Forum Putrajaya ke-8 dalam perkhidmatan Pertahanan ASIA (DSA) 2026 & Pameran Keselamatan Kebangsaan (NATSEC) 2026 di di Pusat Pameran dan Dagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) kelmarin.
Forum anjuran Kementerian Pertahanan menerusi Institut Keselamatan dan Pertahanan Malaysia (MiDAS) memberi tumpuan kepada kesan kemajuan teknologi terhadap landskap keselamatan rantau ASEAN serta keupayaan negara-negara anggota memperkukuh daya tahan strategik secara kolektif.
Dengan bertemakan ‘Keselamatan ASEAN di Ambang Teknologi Baharu’, Forum Putrajaya kali ini memberi fokus kepada kepada tiga bidang utama iaitu penggunaan teknologi baharu dalam memperkukuh keselamatan ASEAN, pengukuhan diplomasi pertahanan serantau, cabaran keselamatan yang memberi manfaat kepada kita, malah mungkin memudaratkan yang timbul daripada perkembangan teknologi seperti kecerdasan buatan (AI) dan pengkomputeran kuantum serta keupayaan siber.
Penganjuran edisi ke-8 ini turut mencerminkan komitmen Malaysia dalam memperkukuh prinsip ASEAN Centrality, selain terus memainkan peranan aktif dalam memperkasakan kerjasama serantau bagi memastikan kestabilan keselamatan kekal kukuh meskipun berdepan evolusi pesat teknologi global.
Forum Putrajaya kali ini juga menghimpunkan pelbagai tokoh penting termasuk Sultan Perak Sultan Nazrin Muizzuddin Shah; Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin; Panglima Angkatan Tentera Datuk Malek Razak Sulaiman; pakar keselamatan dan pertahanan serta ahli akademik antarabangsa.
Ini sekali gus mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai hab strategik perbincangan keselamatan dan pertahanan di peringkat global.
Dalam pada itu, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bertitah, ASEAN kini berdepan cabaran baharu yang semakin kompleks susulan perkembangan pesat teknologi seperti kecerdasan buatan (AI) dan pengkomputeran kuantum.
Baginda bertitah, ia membuka ruang kepada pelbagai risiko termasuk ancaman siber, manipulasi maklumat termasuk deepfake serta gangguan terhadap sistem kritikal negara.
Baginda bertitah, isu ini bukan sekadar kebimbangan teori kerana kepelbagaian ASEAN dari segi bahasa, agama, budaya dan sistem pemerintahan menjadikannya lebih terdedah kepada sistem AI berasaskan andaian luar.
“Algoritma yang tidak memahami kita dengan tepat tidak akan berkhidmat dengan baik malah boleh memberi mudarat.
“Sehubungan itu, pembangunan AI perlu bersifat prososial sejak awal dengan berpaksikan prinsip keadilan, keterangkuman, telus, bertanggungjawab kepada komuniti terkesan dan boleh diaudit oleh badan bebas,” titahnya.
Tegas baginda, bagi ASEAN perkara itu bukan sekadar kebimbangan teoritikal, sebaliknya realiti yang perlu diberi perhatian serius memandangkan kepelbagaian luar biasa rantau ini dari segi bahasa, agama, budaya dan sistem pemerintahan.
“Algoritma yang tidak memahami kita dengan tepat tidak akan memberi manfaat kepada kita, malah mungkin memudaratkan.
“Oleh itu, kita mesti menegaskan keperluan terhadap AI yang prososial sejak dari reka bentuk: sistem yang dibina berasaskan keadilan dan keterangkuman, telus dalam operasinya, bertanggungjawab kepada komuniti yang terkesan, serta boleh diaudit oleh badan bebas.
Ini bukan anti inovasi, sebaliknya syarat yang membolehkan inovasi memperoleh legitimasi,” titah Baginda.
Dalam perkembangan lain, Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, kemajuan pesat dalam sains dan teknologi kini mengubah secara asas landskap keselamatan global, sekali gus mentakrif semula sifat peperangan dan kuasa ketenteraan.
Beliau berkata, dalam dunia yang semakin kompleks dan berkembang pantas, keselamatan kolektif bergantung kepada keupayaan negara untuk memahami, menyesuaikan diri dan bertindak secara bersama.
Menurutnya, pelbagai teknologi baharu termasuk kecerdasan buatan (AI), sistem autonomi, teknologi kuantum dan angkasa, sistem hipersonik, bioteknologi, bahan termaju serta komunikasi generasi baharu dijangka memberi impak besar terhadap operasi ketenteraan masa hadapan.
“Teknologi ini bersifat disruptif dan mengalihkan fokus daripada platform tradisional kepada sistem yang saling berhubung serta autonomi. Penggabungan teknologi ini mewujudkan paradigma peperangan yang sama sekali baharu,” katanya. – UTUSAN










