IPOH: Perak meneroka prospek pelaburan mencecah RM200 juta bagi pembangunan projek tenaga hijau berasaskan konsep floating aqua-voltaic di Tanjong Tualang.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, prospek pelaburan itu diteroka menerusi Memorandum Kerjasama Strategik (MOC) antara Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (Perak SADC) dengan Shuifa Energy Group Co. Ltd.
Beliau berkata, pemeteraian MOC itu merupakan sebahagian daripada Misi Perdagangan dan Pelaburan Kerajaan Negeri Perak ke China yang berlangsung dari 17 hingga 24 Mei.
Katanya, langkah itu mencerminkan komitmen kerajaan negeri dalam memperkukuh hubungan pelaburan strategik, khususnya dalam sektor tenaga hijau, kelestarian serta pembangunan ekonomi berimpak tinggi.
“Fokus awal kerjasama adalah penerokaan projek floating aqua-voltaic berkapasiti 30 megawatt puncak (MWp) di Tanjong Tualang, Perak, tertakluk kepada kajian kebolehlaksanaan, kelulusan pihak berkuasa dan pemuktamadan perjanjian komersial.
“Shuifa telah menyatakan hasrat pelaburan awal secara indikatif sekitar RM180 juta hingga RM200 juta dalam tempoh tiga tahun,” katanya dalam kenyataan.
MOC itu ditandatangani Ketua Pegawai Eksekutif Perak SADC, Mohd Azhar Mohd Yusof (kiri) dan Pengerusi Shuifa Energy Group, Liu Xiao Peng.
Saarani berkata, memorandum itu menjadi asas kepada kerjasama antara Perak SADC dan Shuifa untuk menilai potensi pembangunan projek yang menggabungkan penjanaan tenaga solar, penggunaan tanah serta kawasan kolam atau bekas lombong secara optimum, selain aktiviti akuakultur secara mampan.
Katanya, kerjasama itu juga dijangka membuka ruang kepada perkongsian kepakaran teknikal, pelaburan dan teknologi dalam pembangunan projek tenaga boleh baharu di Perak.
Beliau berkata, pemeteraian memorandum itu turut melibatkan kajian teknikal, komersial, undang-undang dan kawal selia bagi menilai daya maju projek, termasuk struktur kerjasama, model pelaksanaan, keperluan kelulusan dan manfaat kepada komuniti setempat.
Shuifa Energy Group merupakan syarikat milik kerajaan wilayah Shandong yang mempunyai pengalaman dalam sektor air, pertanian moden, tenaga bersih dan perlindungan alam sekitar.
Misi Perdagangan dan Pelaburan Kerajaan Negeri Perak ke China itu turut melibatkan beberapa sesi padanan perniagaan serta lawatan strategik berkaitan sektor automotif, bandar pintar, teknologi digital dan pusat data, bagi memperluas jaringan pelaburan dan meneroka peluang kerjasama baharu untuk Perak. – UTUSAN










