‘Nampak kecil tapi besar rahmatnya’

‘Nampak kecil tapi besar rahmatnya’

MUHAMMAD REDZHA (kiri), Marcus Teoh (tengah) dan Kian Wei (kanan) bersyukur Biasiswa Menteri Besar Perak banyak membantu mereka bagi melanjutkan pengajian lebih tinggi kelak.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Menyedari ibu dan bapa bukannya menjawat jawatan berpendapatan tinggi selain berusaha keras bagi menanggung keluarga menyebabkan tiga remaja belajar bersungguh-sungguh untuk mengubah nasib keluarga.

Ketiga-tiga penerima Biasiswa Menteri Besar Perak secara sekali bayar (one-off) sebanyak RM1,000 menganggap ia ibarat penyambung hayat bagi melanjutkan pengajian untuk taraf kehidupan lebih baik.

Bagi Lam Kian Wei, 18, yang berasal dari Taman Canning di Ipoh, ayah dan ibunya hanya bekerja sebagai peniaga mi goreng dengan pendapatan bulanan tidak menantu.

“Berniaga makan ini ada kesukaran tersendiri lagi-lagi mi goreng kerana bukan masakan itu dimakan orang setiap hari. Biasanya pelanggan ramai pada awal dan hujung bulan kerana dapat gaji.

“Ayah dan ibu perlu berjimat kerana perlu menyara saya dan kakak yang mengambil peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) pada tahun ini selain kos sewa rumah dan biaya lain,” katanya yang bercita-cita bergelar seorang peguam di Ipoh baru-baru ini.

Katanya lagi, biasiswa itu benar-benar membantunya membuat persiapan terutamanya melibatkan yuran pengajian apabila melanjutkan pelajaran kelak.

“Nampak kecil tapi besar rahmatnya untuk kami sekeluarga lagi-lagi ayah dan ibu menghidap penyakit kronik menyebabkan kurang aktif berniaga sekarang.

“Boleh saya kumpulkan wang dan membayar yuran pendaftaran dan perbelanjaan lain apabila sambung belajar kelak,” katanya.

Bagi Muhammad Redzha Putera Othman, 18, yang merupakan anak bongsu daripada 14 adik beradik menyedari kesukaran ibu dan bapanya membesarkan mereka.

“Kami keluarga besar dan ayah hanya mendapat pencen sebanyak RM3,200 sahaja sebulan. Jadi Program Tuisyen Cikgu Saarani dan Biasiswa Menteri Besar Perak ini amat-amat membantu saya.

“Ibu hanya suri rumah sementara adik beradik lain ada yang telah berkerluarga dan mempunyai komitmen tersendiri jadi bantuan kewangan secara tersusun ini membolehkan saya menyimpan untuk melanjutkan pengajian dalam bidang kejuruteraan awam kelak,” katanya yang mendapat 10A dalam SPM.

Sementara itu, Marcus Teoh Zi Xuan, 18, perpisahan ayah dan ibunya sejak lebih 10 lalu tidak mematahkan semangat untuk bergelar sebagai seorang akauntan.

“Saya anak tunggal. Ibu hanya bekerja sebagai ejen insurans dengan pendapatan yang tidak menentu kerana bergantung kepada polisi insurans diluluskan.

“Memang sejak kecil, saya telah mula berdikari. Bantuan biasiswa ini memang menyuntik semangat untuk berjaya dalam kehidupan. Nilai bukan menjadi ukuran tetapi menjadi tonik membuatkan saya lebih bersemangat “ katanya yang turut mendapat 10A dalam SPM.

Yayasan Perak dan Yayasan Bina Upaya Darul Ridzuan (YBUDR) adalah antara peneraju utama bagi agenda pembangunan modal insan, pendidikan, mobiliti sosial dan kesejahteraan rakyat.

Ia juga menepati flagship kelima iaitu Program Pembolehdayaan Modal Insan dan Pembelajaran Sepanjang Hayat cetusan berwawasan Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad bagi memacu negeri ke arah kemajuan dan mensejahterakan rakyat.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN