IPOH: Calon peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2026 menerima suntikan semangat apabila menerima Biasiswa Menteri Besar Perak bernilai RM1,000 setiap seorang baru-baru ini bagi membantu mereka membuat persediaan untuk menghadapi peperiksaan awam tersebut.
Mior Muhammad Amir Farhan Mior Nizam, Nirosh Navintheran dan Lai Ke Ying masing-masing berumur 17 tahun, antara pelajar yang menerima inisiatif itu dan menggunakan sumbangan itu untuk membeli buku rujukan berkualiti dan untuk bayaran tuisyen bagi subjek tertentu yang perlu mereka kuasai.
Nirosh, pelajar aliran Sains dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Anderson di Ipoh berharap dapat mencatat keputusan cemerlang dalam SPM bagi mengejar cita-cita sebagai seorang doktor haiwan.
“Doktor perubatan untuk manusia sudah ramai, saya bercita-cita menjadi seorang doktor veterinar bagi membantu kerajaan negeri menangani masalah kucing dan anjing jalanan yang boleh memberikan risiko penyakit.
“Saya juga ingin membantu agensi kerajaan negeri seperti Jabatan Perkhidmatan Veterinar dan Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (Perak SADC) berkaitan penyelidikan haiwan ruminan seperti lembu dan kambing bagi menghasilkan baka yang berkualiti sebagai stok makanan negeri,” katanya.
Bagi Ker Ying, juga pelajar jurusan Sains dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Ave Maria Convent di Ipoh mahu merubah kehidupan keluarganya dengan menjadi seorang doktor.
Bapanya hanya bekerja biasa dan dengan umur bapanya yang semakin lanjut selain ibunya tidak bekerja, bapanya perlu menanggung kakaknya.
“Pemberian biasiswa bernilai RM1,000 ini mungkin kecil bagi sesetengah individu tetapi cukup bererti bagi saya.
“Biasiswa ini membolehkan saya membeli buku latihan tambahan dan dapat menampung sebahagian perbelanjaan untuk tuisyen terutama melibatkan subjek kritikal seperti Matematik Tambahan, Fizik, Kimia dan Biologi,” katanya.
Sementara itu, Mior Muhammad Amir, pelajar Sekolah Izzudin Shah pula bercita-cita menjadi seorang akauntan walaupun mengambil jurusan agama dalam SPM.
“Saya mengambil subjek Matematik Tambahan dan Prinsip Akaun dalam peperiksaan SPM. Saya mahu membuktikan pelajar jurusan agama bukan semata-mata akan menjadi ustaz atau penceramah agama semata-mata tetapi menjawat jawatan profesional yang lain,” katanya.
Bantuan kerajaan negeri menerusi Yayasan Perak itu selari dengan pelan Perak Sejahtera 2030 yang menepati flagship keempat iaitu Koridor TVET Malaysia.
Ia juga menepati flagship kelima iaitu Program Pembolehdayaan Modal Insan dan Pembelajaran Sepanjang Hayat cetusan berwawasan Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad bagi memacu negeri ke arah kemajuan dan mensejahterakan rakyat. – UTUSAN










