PASIR SALAK: Sepasang lembu ‘sado’ milik seorang penternak di Kampung Chikus di sini tidak dijual walaupun menerima permintaan tinggi untuk dijadikan haiwan korban sempena Aidiladha.
Pemiliknya, Jalaluddin Abu Bakar, 47, enggan melepaskan dua lembu baka Charolais-Audor seberat 1,000 kilogram setiap satu yang diberi nama Keytun dan Pak Tam kerana terlalu sayang.
Lembu jantan dan betina itu dipelihara sejak lima tahun lalu.
“Berapa pun harga ditawarkan, saya tidak akan jual kerana sudah terlalu sayang. Tambahan pula, anak-anak saya sayangkan lembu ini kerana mereka menjaganya,” katanya.
Dia turut menternak 32 ekor lembu kacukan bersaiz besar bersama dua anaknya, Muhammad Adha, 16, dan Muhammad Fahmi, 13.
“Mereka sangat sayangkan Keytun dan Pak Tam. Walaupun ada pihak berminat untuk membelinya bagi tujuan korban, mereka tidak bersetuju untuk menjualnya,” katanya.
Bulan ini sahaja, dia menerima tawaran sehingga RM15,000 seekor daripada seorang peminat lembu ‘sado’ untuk dijadikan haiwan korban.
Bagaimanapun, dia tetap menolak tawaran tersebut kerana tidak berhasrat menjual kedua-dua lembu berkenaan.
“Saya tidak kisah berapa harga ditawarkan kerana belum puas menjaganya. Mungkin kami akan sembelih sendiri pada masa akan datang.
“Buat masa ini, kami tidak bercadang menjualnya sebagai haiwan korban untuk Aidiladha tahun ini,” katanya. – UTUSAN











