MUKADIMAH
TABUNG Haji (TH) pada setiap tahun sentiasa melakukan penambahbaikan perkhidmatan dan layanan jemaah Malaysia termasuk soal penginapan.
Pengarah Operasi Maktab TH, MOHD. FAHMI KAMARUDIN berkata, antaranya peta interaktif digital untuk membantu jemaah mengesan lokasi semasa di Mekah dan Madinah.
Kepada petugas media haji, beliau selaku antara tulang belakang operasi haji juga menyentuh aplikasi THhujjaj apabila jemaah kini boleh semak sebarang info terkini sepanjang di Tanah Suci.
UTUSAN MALAYSIA: Apa penambahbaikan musim haji kali ini?
MOHD. FAHMI KAMARUDIN: Antara pembaharuan baharu ialah platform THhujjaj yang dibangunkan bagi membantu jemaah mendapatkan maklumat agenda dan informasi terkini sepanjang berada di tanah suci.
Melalui platform ini, jemaah juga boleh menyemak peta interaktif bagi mengetahui lokasi semasa di Mekah dan Madinah.
Boleh ulas lebih lanjut peta interaktif?
Misalnya jemaah haji tersasar, mereka boleh menggunakan Google Map di mana jemaah boleh guna peta interaktif yang dibekalkan oleh Tabung Haji dalam THhujjaj untuk balik lokasi penginapan masing-masing.
Apakah kemudahan lain yang disediakan kepada jemaah?
Perkhidmatan lain kekal seperti sebelum ini termasuk klinik, pejabat operasi serta penempatan petugas dan pembimbing ibadat haji.
Selain itu, petugas haji menguruskan proses umrah pertama jemaah bermula dari bangunan penginapan sehingga selesai tawaf dan saie di Masjidil Haram.
Mereka juga ditempatkan di Masjidil Haram bagi memastikan jemaah melaksanakan ibadat mengikut tertib ditetapkan
Adakah terdapat hotel baharu untuk jemaah Malaysia?
Ya, tahun ini kita memperkenalkan Hotel Al-Kiswah yang menempatkan kira-kira 6,000 jemaah haji. Ia menggantikan beberapa hotel lama yang tidak dapat beroperasi sepenuhnya bagi musim 2026.
Apakah penambahbaikan di Arafah dan Mina?
Kita menyediakan tandas dua tingkat. Langkah ini dijangka mengurangkan masa menunggu tandas daripada 45 minit kepada sekitar 20 hingga 30 minit. – UTUSAN










