Data Waze berisiko disalah guna jejak pergerakan penjawat awam

Data Waze berisiko disalah guna jejak pergerakan penjawat awam

MEGAT Zuhairy Megat Tajuddin (tengah) ketika sesi taklimat kepada media di Ibu Pejabat NACSA, Cyberjaya. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

CYBERJAYA: Data pergerakan pengguna aplikasi Waze berisiko menjadi senjata kepada pihak yang berniat jahat untuk menjejaki lokasi dan meramal rutin harian seseorang individu menerusi teknologi kecerdasan buatan (AI).

Ia sekali gus mengundang risiko keselamatan sekiranya maklumat itu jatuh ke tangan penjenayah.

Ketua Eksekutif Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA), Dr. Megat Zuhairy Megat Tajuddin berkata, risiko itu mendorong kerajaan mengambil langkah proaktif bagi mengelakkan data berkenaan dieksploitasi pihak tidak bertanggungjawab untuk mengancam keselamatan negara atau individu berkepentingan.

Memuatkan artikel berkaitan…

Menurut beliau, pihaknya mendapati data penggunaan Waze tertakluk kepada undang-undang Israel, sekali gus menimbulkan kebimbangan terhadap potensi penyalahgunaan maklumat berkenaan.

“Memang kita sedar, Waze dibangunkan oleh Israel. Dalam konteks sekarang, teknologi digital dan juga AI diguna pakai oleh penjenayah ataupun mereka yang ingin memberi ancaman keselamatan kepada negara sebagai medium untuk tujuan tersebut,” katanya menerusi taklimat kepada media mengenai isu-isu semasa keselamatan negara di sini hari ini.

Semalam, kerajaan memutuskan untuk melarang penggunaan aplikasi navigasi Waze yang berpangkalan di Israel dalam kalangan anggota perkhidmatan awam berkuat kuasa serta-merta.

Mengulas lanjut, Megat Zuhairy berkata, berdasarkan kajian yang dijalankan, data penggunaan Waze adalah terikat kepada undang-undang Israel, justeru langkah pencegahan perlu diambil bagi mengelakkan maklumat itu digunakan untuk tujuan yang boleh mengancam keselamatan.

“Dalam konteks itu, kita berpandangan bahawa ancaman tersebut jelas. Dan kita mengambil langkah proaktif supaya ancaman tersebut tidak diguna pakai bagi tujuan-tujuan jahat untuk Malaysia ataupun kepada sesiapa yang mereka mempunyai kepentingan untuk mencapai hasrat jahat tersebut,” katanya.

Ditanya sama ada terdapat data pengguna Malaysia sudah diperoleh oleh pihak berkenaan, Megat Zuhairy berkata, data itu sememangnya telah tersedia berikutan penggunaan aplikasi berkenaan untuk tujuan navigasi sejak sekian lama.

Jelasnya lagi, data lokasi dan corak pergerakan yang dikumpulkan menerusi aplikasi berkenaan turut berpotensi digunakan dengan bantuan AI untuk menjejaki pergerakan individu secara lebih khusus.

Katanya, sekiranya maklumat itu terdedah atau diperoleh penjenayah, ancamannya boleh menjadi serius memandangkan teknologi AI membolehkan data berkenaan dimanfaatkan untuk pelbagai tujuan.

Sementara itu, ditanya sama ada Malaysia merupakan negara pertama yang mengambil tindakan sedemikian, beliau menjelaskan, terdapat negara lain yang turut mengehadkan penggunaan aplikasi sedemikian, namun pendekatan Malaysia dalam konteks ini tertumpu kepada penjawat awam dan bukannya larangan menyeluruh terhadap penggunaan Waze.

“Setahu saya, Iran juga ada menyekat, di China ada limitasi tertentu, tetapi dalam konteks ini Malaysia menyekat penggunaan penjawat awam sahaja, tidak ‘banned’ secara keseluruhan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini