Ketabahan Latipah harungi cabaran, 27 tahun berbakti di UTM

Ketabahan Latipah harungi cabaran, 27 tahun berbakti di UTM

LATIPAH Hussin menerima pengiktirafan Anugerah Jasa Bakti sempena Majlis Sanjungan Budi 2026 di UTM Skudai, Johor Bahru. UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Kekurangan penglihatan sejak lahir tidak menghalang Latipah Hussin, 47, membina kehidupan berdikari apabila berjaya menabur bakti selama 27 tahun sebagai warga Universiti Teknologi Malaysia (UTM).

Bermula sebagai operator telefon di UTM Kuala Lumpur pada 1999, beliau kini bertugas di Jabatan Pendaftar, UTM Jalan Semarak, hasil kesungguhan mempelajari kemahiran baharu dan menyesuaikan diri dengan persekitaran kerja.

Latipah berkata, beliau mendapat pendidikan awal di Sekolah Princess Elizabeth, Johor Bahru sebelum menyambung persekolahan di Sekolah Menengah Pendidikan Khas, Setapak, Kuala Lumpur.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Di situ, saya mempelajari tulisan Braille yang menjadi antara kemahiran penting dalam kehidupan. Ketika mula bekerja, saya perlu belajar daripada tenaga pengajar cara menggunakan peralatan operator telefon.

“Selepas tiga hari diberi tunjuk ajar, saya semakin mahir dan mampu menjalankan tugas dengan baik,” katanya kepada Utusan Malaysia, di sini hari ini.

Menurutnya, kekurangan dialami bukan alasan untuk berputus asa, sebaliknya menjadi pembakar semangat untuk terus berusaha membina kehidupan sendiri.

Latipah yang menetap di Sungai Penchala berkahwin dengan suaminya yang turut mengalami masalah penglihatan ketika belajar di sekolah pendidikan khas di Setapak. Mereka dikurniakan seorang anak lelaki berusia 11 tahun.

“Suami bekerja sendiri dan menghantar saya ke tempat kerja dengan menaiki motosikal.

“Kita tidak boleh mudah berputus asa. Walaupun mempunyai kekurangan, kita perlu kuatkan semangat, berusaha dan mencari pekerjaan sendiri tanpa terlalu mengharapkan bantuan orang lain,” katanya.

Ketabahan Latipah berkhidmat selama 27 tahun mendapat pengiktirafan menerusi Anugerah Jasa Bakti pada Majlis Sanjungan Budi 2026 di UTM Skudai.

Beliau antara 335 warga UTM yang menerima penghargaan atas kesetiaan, dedikasi dan sumbangan sepanjang tempoh perkhidmatan.

Anugerah itu disampaikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Iskandar Puteri, Datuk Pandak Ahmad, dan turut dihadiri Naib Canselor UTM, Prof. Dr. Mohd. Shafry Mohd. Rahim. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini