PETALING JAYA: Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh meminta orang ramai supaya tidak lagi menyalurkan sumbangan ke akaun banknya.
Beliau berkata, keputusan itu dibuat selepas menerima hampir RM45,102.18 daripada individu yang berhasrat membantu beliau.
Menurutnya, hampir semua wang yang diterima bukan bertujuan membeli motosikal atau ikan tilapia yang ingin dijualnya, sebaliknya merupakan sumbangan daripada orang ramai.
“Saya sangat-sangat berterima kasih, tetapi niat saya adalah untuk berusaha terlebih dahulu menjual aset saya iaitu motor dan ikan saya.
“Saya sejujurnya tidak mahu menyusahkan mana-mana pihak untuk membantu saya kerana saya akan bertanggungjawab sepenuhnya, maka insya-Allah saya akan tanggung sepenuhnya,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Isnin lalu, akhbar ini melaporkan Muhamad Akmal kalah dalam kes saman fitnah yang difailkan Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok dan diperintahkan membayar ganti rugi serta kos keseluruhan RM300,000.
Keputusan itu dibuat Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Isa Aziz Ibrahim selepas mendapati Muhamad Akmal bertanggungjawab terhadap kenyataan berunsur fitnah yang menjadi asas saman berkenaan.
Sehubungan itu, Muhamad Akmal berkata, beliau terpaksa menarik semula nombor akaun bank yang dikongsikan dalam hantaran terdahulu bagi mengelakkan orang ramai terus menyalurkan wang kepadanya.
“Saya mohon untuk jangan masukkan lagi duit ke akaun saya agar saya tidak rasa bersalah dengan semua.
“Tidak mengapa saya tanggung, saya hanya perlukan doa daripada anda semua sahaja,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, individu yang berminat membeli motosikal X-ADV miliknya boleh menghubunginya selepas perincian mengenai penjualan itu dikongsikan kelak. – UTUSAN











