6.3 juta rakyat Malaysia pengguna Waze, kelima tertinggi dunia

6.3 juta rakyat Malaysia pengguna Waze, kelima tertinggi dunia

RAJA Nushirwan Zainal Abidin (dua kanan) dan Dr Megat Zuhairy Megat Tajuddin (tiga kanan) ketika sesi taklimat kepada media di Ibu Pejabat NACSA, Cyberjaya. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

CYBERJAYA: Seramai 6.3 juta rakyat Malaysia direkod menggunakan aplikasi navigasi Waze pada tahun 2019, menjadikan negara ini sebagai pengguna kelima tertinggi di dunia dan ketiga tertinggi di ASEAN.

Ketua Eksekutif Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA), Dr. Megat Zuhairy Megat Tajuddin berkata, bagaimanapun NACSA tidak mempunyai maklumat terperinci mengenai jumlah data pengguna Malaysia yang mungkin sudah diperoleh pihak berkenaan.

Pada masa sama, katanya, pihaknya sudah menerima beberapa nama produk untuk diteliti termasuk produk keselamatan siber yang berasal dari Israel.

Memuatkan artikel berkaitan…

Bagaimanapun, jelasnya, penilaian akan lebih memberi tumpuan kepada produk yang tertakluk dan terikat kepada undang-undang Israel.

“Buat masa sekarang ini, satu yang kita ‘confirmed and verified’ dan akan berlaku kajian berterusan untuk produk-produk lain,” katanya menerusi taklimat kepada media mengenai isu-isu semasa keselamatan negara di sini hari ini.

Sementara itu, Ketua Pengarah Keselamatan Negara, Datuk Nushirwan Zainal Abidin menyarankan rakyat Malaysia agar menyahpasang aplikasi navigasi Waze bagi mengelakkan data pergerakan mereka berisiko disalahgunakan sehingga mengancam keselamatan diri dan negara.

Jelas beliau, meskipun larangan penggunaan Waze hanya dikenakan terhadap penjawat awam bagi tujuan rasmi, implikasi pengumpulan data pergerakan menerusi aplikasi itu tidak terhad kepada waktu bekerja atau urusan rasmi semata-mata.

Menurutnya, data berkenaan berpotensi digunakan untuk menjejaki pergerakan individu di luar waktu bertugas, sekali gus menimbulkan risiko kepada penjawat awam dan rakyat Malaysia secara keseluruhannya.

Tambahnya lagi, pengguna perlu lebih berhati-hati dalam berkongsi data menerusi aplikasi navigasi atau aplikasi lain pada telefon masing-masing, terutama apabila melibatkan pihak yang tidak dipercayai.

“Kalau kita berikan data kepada orang yang kita tidak percayai, termasuk dalam konteks ini dimiliki oleh negara yang kita tidak iktiraf dan mempunyai hasrat-hasrat yang boleh memberi ancaman kepada negara secara keseluruhannya, saya menyarankan bahawa semua rakyat Malaysia untuk ‘uninstall’ Waze dan tidak menggunakan Waze secara keseluruhannya,” katanya.

Ditanya mengapa kerajaan tidak melaksanakan larangan penggunaan secara menyeluruh terhadap aplikasi Waze, beliau berkata, keputusan itu mengambil kira keperluan mengimbangi aspek keselamatan dengan hak asasi manusia, kebebasan bersuara dan kebebasan memilih.

“Kalau kita ‘banned’ Waze ini, kesannya ialah kita memberi terlalu banyak tekanan kepada keselamatan. Tapi kalau dengan cara yang kita ambil ini, kita serahkan kepada rakyat Malaysia untuk memilih secara sendiri.

“Kerajaan akan memberi maklumat sepenuh-penuhnya, dan bergantunglah kepada setiap individu untuk membuat pilihan masing-masing. Kalau mereka sanggup data mereka pergi ke Israel, dan apa juga pertikaian undang-undang akan diputuskan di mahkamah Israel, maka itu terserahlah kepada budi bicara masing-masing,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini