Simpan SSPN catat dividen 4.10%, tertinggi dalam tempoh 11 tahun terakhir

Simpan SSPN catat dividen 4.10%, tertinggi dalam tempoh 11 tahun terakhir

Norliza Abdul Rahim dan Ahmad Dasuki Abdul Majid ketika mengumumkan dividen Simpan SSPN 2025 di Kuala Lumpur, kelmarin. – UTUSAN/MOHD FARIZWAN HASBULLAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) mengumumkan agihan dividen Skim Simpanan Pendidikan Nasional (Simpan SSPN) sebanyak 4.10 peratus bagi tahun 2025 dengan anggaran peruntukan berjumlah RM505.68 juta sekali gus mencatatkan kadar tertinggi dalam tempoh 11 tahun terakhir.

Agihan itu memberi manfaat kepada 6.07 juta akaun pendeposit Simpan SSPN di seluruh negara selain menjadikan jumlah pemberian dividen sebanyak RM2.63 bilion sejak Simpan SSPN diperkenalkan pada 2004.

Pengerusi PTPTN, Datuk Seri Norliza Abdul Rahim berkata, kadar dividen 4.10 peratus yang diumumkan itu lebih tinggi berbanding 4.05 peratus pada tahun 2024, sekali gus membuktikan prestasi kukuh pengurusan dana simpanan berkenaan.

Katanya, kadar berkenaan juga dilihat kompetitif berbanding pulangan yang ditawarkan kebanyakan institusi kewangan lain ketika ini.

“Ia menjadikan Simpan SSPN antara instrumen simpanan pendidikan yang terus relevan dan diyakini masyarakat,” katanya ketika Majlis Pengumuman Dividen Simpan SSPN 2025 di Menara PTPTN di sini kelmarin yang turut dihadiri Ketua Eksekutif PTPTN, Ahmad Dasuki Abdul Majid bersama pengurusan tertinggi.

Menurutnya, peningkatan kadar dividen itu mencerminkan kecekapan tadbir urus serta strategi pelaburan berhemah yang dilaksanakan dalam memastikan pulangan optimum kepada pendeposit.

“Strategi pelaburan patuh syariah jangka pendek dan panjang di pasaran wang serta sukuk tempatan berjaya membantu meningkatkan prestasi pulangan dana Simpan SSPN sepanjang tahun lalu.

“Pemberian dividen Simpan SSPN pada kadar 4.10 peratus ini juga menunjukkan pulangan bersih pelaburan yang positif berbanding Kadar Dasar Semalaman (OPR) yang ditetapkan Bank Negara Malaysia pada kadar 2.75 peratus sepanjang tahun 2025,” ujarnya.

Norliza berkata, selain menawarkan kadar dividen kompetitif, Simpan SSPN turut menyediakan pelbagai manfaat tambahan yang memberi keuntungan berganda kepada pendeposit.

Jelas beliau, antara keistimewaan yang ditawarkan adalah pelepasan taksiran cukai pendapatan sehingga RM8,000 setahun, perlindungan takaful percuma kepada pendeposit serta simpanan yang dijamin kerajaan dan patuh syariah.

“Simpan SSPN juga menyediakan Geran Sepadan percuma sehingga RM10,000 bagi keluarga yang layak, sekali gus membantu meringankan beban kewangan ibu bapa dalam menyediakan tabung pendidikan anak-anak.

“Dalam masa sama, kerajaan melalui Belanjawan 2025 turut memperluaskan kriteria pemberian Geran Sepadan kepada keluarga berpendapatan melebihi RM4,000 hingga RM6,000 di bawah Inisiatif Geran Padanan Ihsan (GAPAI),” katanya.

Melalui inisiatif itu, katanya, pendeposit yang layak kini boleh memohon geran sepadan sehingga RM5,000 untuk satu keluarga menerusi akaun Simpan SSPN Prime.

Ujar beliau, prestasi Simpan SSPN sepanjang tahun lalu juga menunjukkan perkembangan memberangsangkan apabila jumlah deposit diterima mencecah RM3.33 bilion, meningkat RM154.10 juta atau 4.86 peratus berbanding tahun sebelumnya.

“Selain itu, lebih 500,000 akaun baharu berjaya dibuka tahun lalu, menjadikan keseluruhan deposit terkumpul Simpan SSPN sehingga 31 Disember lalu iaitu sebanyak RM23.88 bilion.

“Pencapaian itu membuktikan keyakinan berterusan masyarakat terhadap Simpan SSPN sebagai platform simpanan pendidikan yang bukan sahaja menawarkan pulangan kompetitif malah dilengkapi pelbagai manfaat tambahan demi masa depan pendidikan anak-anak,” katanya.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN