PARIT: Tinggal di perkampungan bukan halangan bagi seorang wanita Orang Asli suku Semai memperkenalkan adat resam, kebudayaan dan muzik tradisional etniknya di persada dunia.
Selindang Sari Seliman, 24, aktif melakukan persembahan alatan muzik Orang Asli seperti pensol atau seruling hidung, centong buluh, sape dan gitar buluh.
Selain itu, dia juga terlibat secara serius dalam bengkel anyaman daun kelapa dan mengkuang tarian neasik serta menyampaikan sesi penerangan berkaitan kehidupan kaumnya di seluruh negara malah hingga ke Kemboja dan Australia.
“Dalam sebulan saya ada tiga hingga empat persembahan tarian dan seni persembahan, bengkel anyaman selain menjadi panel seminar berkaitan Orang Asli peringkat tempatan, nasional dan antarabangsa di seluruh negara.
“Komitmen Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN), Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa), Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) dan Parlimen amat dihargai kerana sering menjemput kumpulan saya iaitu Luheiw Renaweij (Lenggok Si Buluh Perindu) membuat persembahan.
“Kami bergerak di bawah Persatuan Kesenian Kebudayaan Orang Asal Perak,” katanya ketika ditemui di Kampung Tumbuh Hangat, Bota Kanan di sini.
Dia merupakan penerima Dana Kreatif Perak@Port (DKP) 2025/2026 bagi kategori seni persembahan bagi Wayang Tek-Tek sebanyak RM4,000.
Katanya, dana tersebut membantunya dari segi persembahan muzik dan berkarya dalam bentuk muzik video serta filem pendek.
Dia yang pernah memenangi Anugerah Ikon Belia Orang Asli (Seni Budaya) dan Duta Sape (alat muzik tradisional Orang Asli) menyifatkan ramai golongan muda di negara ini masih tidak mengetahui mengenai Orang Asli.
Selindang Sari pernah menyampaikan ceramah di Kuala Lumpur dan ramai generasi muda terutama remaja tidak tahu mengenai kewujudan mereka yang menetap di negara ini selain mencari rezeki dengan hasil dan memburu di hutan.
“Saya akan terus memperjuangkan kisah mengenai masyarakat Orang Asli di negara ini dan amat berbangga kerana menjadi wanita pertama berasal dari Perak berbuat sedemikian,” katanya.
Dana Kreatif Perak@PORT merupakan satu skim bantuan seni yang bersistematik dengan memberi keutamaan kepada para pengkarya dan golongan usahawan dalam bidang kreatif yang merupakan anak Perak.
PORT yang juga akronim kepada People of Remarkable Talent juga adalah antara agensi peneraju flagship kesepuluh Perak Sejahtera 2030 iaitu Ekonomi Pengalaman cetusan ilham Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad di bawah segmen Semarak Warisan. – UTUSAN










